Jumaat, 24 Disember 2021 | 11:36am
Banyak mendapan di beberapa kawasan sepanjang jalan raya antara Kampung Tuit ke Hulu Tembeling - Foto NSTP/ Ihsan pembaca
Banyak mendapan di beberapa kawasan sepanjang jalan raya antara Kampung Tuit ke Hulu Tembeling - Foto NSTP/ Ihsan pembaca

Penduduk Hulu Tembeling terputus hubungan ke Jerantut

JERANTUT : Kira-kira 2,000 orang penduduk di lima kampung pedalaman Hulu Tembeling terputus hubungan luar apabila beberapa laluan di jalan raya antara Kampung Tuit ke Mat Daling, Hulu Tembeling mendap dan tebing runtuh berikutan musim tengkujuh sejak lima hari lalu.

Antara laluan yang dikenal pasti berlaku kejadian mendapan tanah dan tebing runtuh ialah jalan berdekatan Kem Nusa, Kuala Tahan, pusat perhentian Bukit Awan di Kampung Pagi, dan laluan Bukit Komel antara Kampung Kuala Sat ke Kampung Mat Daling.

Menurut penduduk, beberapa kawasan mendapan pernah dibaik pulih pada pertengahan tahun ini, tetapi permukaan jalan raya mendap semula termasuk berlaku runtuhan tebing berikutan musim tengkujuh.

Keadaan itu mengundang masalah bagi penduduk lima buah kampung pesisir Sungai Tembeling, iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai di mukim Hulu Tembeling keranatidak dapat keluar ke bandar Jerantut.

Keadaan ini juga menyebabkan aktiviti sektor ekopelancongan di lima buah perkampungan terbabit 'terbantut' selepas musim tengkujuh ini sekiranya usaha membaik pulih dan menaik taraf jalan itu tidak dilakukan segera.

Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin, 58, berkata, keadaan jalan berkenaan sudah teruk dan tidak boleh dilalui kenderaan apabila separuh laluan mendap sedalam kira-kira 30 sentimeter.

"Struktur jalan yang sudah teruk dan rosak seperti kejadian gempa bumi apabila terdapat lubang akibat mendapan tanah di laluan berdekatan Bukit Awan.

Penduduk Kampung Pagi, Mustapa Abdullah, 31, berkata kebanyakan laluan di situ memang tidak selamat kerana setiap kali musim tengkujuh berlaku mendapan dan tebing runtuh.

"Ini ditambah pula semua kawasan permukaan di laluan Jalan Tuit ke Hulu Tembeling tidak begitu kuat kerana kerap kali 'dilanyak' oleh lori balak sebelum musim tengkujuh.

"Pihak berwajib perlu melihat keadaan ini dan memberhentikan pengeluaran balak kerana bukan sahaja menyebabkan jalan rosak malah berlaku kerosakan alam sekitar dan musnahnya habitat haiwan liar di Hulu Tembeling," katanya.

Penggiat dan pengusaha ekopelancongan, Khamri Basri, 41, berkata, kerosakan jalan raya di Hulu Tembeling sangat memberi kesan kepada pembangunan sektor pelancongan di kampung di pesisir Sungai Tembeling.

"Baharu sahaja kami hendak mula 'cari makan' dan tambah pendapatan dalam tempoh fasa pemulihan pandemik 19, jalan pula rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan penduduk dan juga pengunjung luar.

"Pengangkutan bot Sungai Tembeling masih belum pulih kerana musim tengkujuh, tetapi pengunjung luar yang melancong ke Taman Negara dan Hulu Tembeling gemar memilih jalan darat kerana lebih cepat dan selamat.

Berita Harian X