Jumaat, 24 Disember 2021 | 8:53am
Penternak ikan air tawar mengalami banyak kerugian berikutan sangkar dan kolam musnah akibat dilanda banjir. - Foto FB Jabatan Perikanan Pahang
Penternak ikan air tawar mengalami banyak kerugian berikutan sangkar dan kolam musnah akibat dilanda banjir. - Foto FB Jabatan Perikanan Pahang

Penternak ikan kerugian lebih RM1.4 juta

KUANTAN: 73 penternak ikan air tawar di lima daerah negeri ini mengalami kerugian lebih RM1.4 juta susulan banjir yang melanda sejak Jumaat lalu.

Jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila banyak sangkar dan kolam di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan, musnah.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata kerugian penternak akuakultur di negeri ini dijangka terus meningkat, berikutan keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa daerah.

Menurutnya, estet ikan, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga telah ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan.

"Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti.

"Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.

"Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

Abdullah berkata, jabatan simpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini dan berharapkan mereka tabah serta bersabar menghadapi ujian yang tidak dijangka ini.

"Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri ini seramai kira-kira 1,700 orang manakala nelayan darat seramai 380 orang.

"Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang adalah yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur serta kira-kira 787 tanbernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai," katanya.

Berita Harian X