Jumaat, 24 Disember 2021 | 12:14am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sistem InfoBencana JKM tergendala

KUALA LUMPUR: Sistem maklumat situasi bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), InfoBencana JKM 2.0 gagal diakses buat masa ini kerana kegagalan akses pangkalan data.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh, mengesahkan sistem berkenaan tergendala sementara dan ia dipercayai berpunca akibat jumlah trafik yang tinggi.

"Perkara itu sudah dimaklumkan kepada'vendor' (pembekal perkhidmatan) dan sedang diambil tindakan," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 21 November lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun melancarkan Sistem InfoBencana JKM 2.0 yang sudah dinaik taraf bagi meningkatkan akses kepada maklumat berkaitan pengurusan bencana kendalian JKM.

Ia adalah aplikasi utama dalam pengumpulan dan pelaporan statistik mangsa bencana bagi memudahkan capaian info bencana kepada rakyat dan semua pihak yang berkepentingan.

Sistem Infobencana JKM 2.0 bermula sebagai Sistem Info Banjir yang dibangunkan dan digunapakai oleh JKM sejak tahun 2015.

Antara penambahbaikan terkini adalah penggunaan dwibahasa, menaiktaraf paparan antaramuka, integrasi bersama Jabatan yang berkaitan dengan pengurusan bencana seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Selain itu, penambahbaikan modul pusat perpindahan, profil penduduk, bantuan pemulihan dan modul pengurusan stor serta tambahan maklumat baru seperti info paras air sungai, maklumat jalan tutup dan senarai fasiliti penyimpanan bekalan.

Informasi terkini mengenai pengurusan bencana boleh diakses secara 'real time' melalui aplikasi InfoBencanaJKM yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apps Store.

Sistem ini juga boleh dilayari di laman sesawang http://infobencanajkmv2.jkm.gov.my.

Berita Harian X