Khamis, 23 Disember 2021 | 11:23pm
Kelihatan penduduk keletihan berehat seketika selepas mengemas dan membersih rumah yang ditenggelami banjir di Batu 18 Hulu Langat. - Foto ASWADI ALIAS
Kelihatan penduduk keletihan berehat seketika selepas mengemas dan membersih rumah yang ditenggelami banjir di Batu 18 Hulu Langat. - Foto ASWADI ALIAS

Yayasan Hasanah digesa anjur program psikososial

HULU LANGAT: Yayasan Hasanah, sebuah entiti Khazanah Nasional Berhad disaran menganjurkan program psikososial bagi membantu memulihkan emosi mangsa banjir.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Yayasan Hasanah boleh mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira kesan dialami mangsa banjir selepas musibah tersebut.

"Mangsa trauma dan alami kejutan. Itu satu daripada perkara yang Yayasan Hazanah boleh teliti. Boleh ada program psikososial," katanya selepas meninjau dan membantu kerja-kerja pembersihan banjir di Kampung Jawa di sini, hari ini.

Program itu disertai lebih 300 sukarelawan antaranya daripada Yayasan Hasanah, Yayasan Raja Muda Selangor, Yayasan Hadi dan MBSB Bank.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan berkoordinasi dengan pihak berkepentingan untuk membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan.

"Buat masa ini bantuan makanan bukan lagi isu dan apa yang perlu adalah tenaga kerja. Apa yang diperlukan selepas ini ialah pihak berkuasa tempatan dan sebagainya untuk membantu membaiki rumah mangsa.

"Kalau ramai ada masa, kita jemput datang tolong di kawasan-kawasan yang terkesan banjir kerana mereka perlukan tenaga kerja," katanya.

Mengenai bantuan kepada mangsa banjir, Tengku Zafrul berkata pelbagai inisiatif telah diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk bantuan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terkesan bencana itu. – BERNAMA

Berita Harian X