Khamis, 23 Disember 2021 | 8:55pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto fail BERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto fail BERNAMA

Hubungi koordinator di PPS jika mahu bantu - Rina

PUTRAJAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhasrat menghulurkan tenaga membantu mangsa banjir dinasihatkan menghubungi koordinator di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memudahkan penyelarasan tugas dan bantuan dilakukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata kerajaan sangat mengalu-alukan bantuan daripada sesiapa saja termasuk NGO dan individu membantu mangsa banjir.

"Setiap PPS mempunyai koordinator. Contohnya di Sri Muda koordinatornya adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Apabila sampai di lokasi, carilah koordinator untuk memaklumkan mereka datang memberi bantuan.

"Kita alu-alukan bantuan dan sukarelawan," katanya kepada pemberita selepas melawat PPS SK Kota Warisan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan NGO yang mendakwa dihalang oleh pihak tertentu ketika mereka masuk ke kawasan banjir untuk membantu mangsa.

Pada masa sama, Rina berharap tidak ada pihak yang menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan mempolitikkan isu berkenaan.

"Kadang kala yang dihalau kita pun tidak tahu siapa yang menghalang tetapi akhirnya tempelak dibalikkan kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu dari segi psikososial mangsa banjir di setiap PPS yang beroperasi di kawasan dilanda banjir.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengeluarkan senarai kaunselor yang ada yang boleh dihubungi mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan kaunseling.

"Ini kerana, mereka bukan saja kehilangan harta benda tetapi dari segi masalah psikologi yang memerlukan bantuan psikososial.

"Dalam keadaan sekarang kita faham emosi mangsa terganggu jadi perlu untuk mereka ini dibantu.

"Kita gerakkan sukarelawan bawah Lembaga Kaunselor dan oleh kerana kebanyakan PPS beroperasi di sekolah, mereka juga sama membantu," katanya.

Rina berkata, ketika ini, kira-kira 1,200 sukarelawan sudah digerakkan di PPS si Kuala Lumpur dan Selangor untuk membantu mangsa banjir sejak minggu lalu.

Menjawab dakwaan netizen mengenai keberadaan JKM di kawasan dilanda banjir, beliau berkata, jabatan itu sebenarnya sudah membuat yang terbaik termasuk menyenaraikan kira-kira 5,000 PPS di kawasan sering dilanda banjir, di seluruh negara.

Pun begitu, katanya, apa yang berlaku hujung minggu lalu membabitkan kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir seperti di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Sri Muda di Shah Alam.

Beliau berkata, berikutan itu, ada beberapa PPS baharu dibuka bagi menempatkan mangsa banjir kerana keadaan mendesak.

"Saya kita mengambil maklum perkara ini. Mungkin pegawai JKM ini ada kadang-kadang kita tidak nampak kerana mereka tidak memakai jaket oren," katanya.

Berita Harian X