X
Khamis, 23 Disember 2021 | 8:28pm
 Aminuddin mengadakan sidang media pasca banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, petang tadi. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aminuddin mengadakan sidang media pasca banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, petang tadi. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Banjir Taman Sri Muda surut, kerja pembersihan dimulakan

SHAH ALAM: Banjir yang melanda Taman Sri Muda, Seksyen 25, dekat sini, sudah surut petang tadi, sekali gus membolehkan kerja pembersihan akibat bencana banjir dimulakan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata program atau aktiviti pasca banjir termasuk pembersihan akan diselaraskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Kita bersetuju menerusi perbincangan di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), program atau aktiviti pasca bencana akan diselaraskan MBSA dan disokong Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya difahamkan banyak badan bukan kerajaan (NGO) menghubungi kita untuk turut sama dalam proses pasca bencana ini.

"Justeru, kita meminta mereka yang berminat mendaftar dengan kita atau MBSA sebab kita akan membuat pengagihan bagi membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan dengan teratur," katanya pada sidang media di Taman Sri Muda, hari ini.

Aminuddin berkata, agensi berkenaan juga mempunyai 130 rakan NGO dikenali sebagai Friends of NADMA dan mereka juga berhasrat membantu pasca bencana di seluruh negara.

Sementara itu, menurut data dikongsi aplikasi Info Bencana JKM, sejumlah 22,206 mangsa banjir daripada 5,745 keluarga direkodkan Selangor sehingga jam 7 petang tadi.

Daripada keseluruhan jumlah itu, 15,035 adalah individu dewasa; 6,350 kanak-kanak dan 821 bayi.

Sebanyak 111 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka di lapan daerah di Selangor.

Berita Harian X