Khamis, 23 Disember 2021 | 8:00pm

151 pekebun nanas di 3 negeri rugi akibat banjir

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu menyebabkan 151 pekebun nanas menanggung kerugian selepas kawasan tanaman mereka seluas 125.9 hektar terjejas akibat bencana itu.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata bencana banjir itu menjejaskan pekebun di tiga negeri dengan Selangor merekodkan bilangan tertinggi membabitkan 119 pekebun, diikuti Pahang (30 pekebun) dan Perak (dua pekebun).

Beliau berkata, LPNM juga mengenal pasti empat pengusaha Industri Asas Tani Nanas (IAT) di Selangor yang turut terjejas.

"LPNM akan membantu pekebun dan pengusaha nanas terjejas menerusi bantuan awal pemulihan iaitu melalui peruntukan Tabung Bencana LPNM.

"Melalui tabung itu, LPNM memberi bantuan membabitkan input pertanian seperti benih dan baja sebanyak RM2,500 perhektar dengan bantuan maksimum empat hektar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahruddin berkata, inisiatif berkenaan dapat membantu pekebun dan pengusaha serta pengusaha IAT yang terjejas.

Sebelum ini, inisiatif Tabung Bencana itu yang dilaksanakan selama 10 bulan bermula Januari lalu membantu 51 pekebun nanas yang terjejas ekoran musibah banjir dan kemarau membabitkan kawasan seluas 50 hektar.

Selain itu, LPNM juga akan memanjangkan permohonan bantuan untuk golongan berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Tabung Bencana MAFI.

Katanya, Program MAFI Prihatin yang dilaksanakan sejak awal tahun ini, membabitkan pemberian bantuan keperluan asas dan bekalan makanan, akan turut diteruskan bagi membantu golongan berkenaan.

"Sehingga kini, LPNM menyalurkan 3,500 bakul makanan dan lebih 50,000 buah nanas sebagai sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat COVID-19," katanya.

"Bagi mewujudkan platform aduan kepada pengusaha terjejas, LPNM membuka talian hotline bencana banjir 019-8190874/019-8190765 pada 19 Disember lepas atau boleh menghubungi terus pejabat LPNM negeri," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X