Khamis, 23 Disember 2021 | 6:42pm
 Alexander menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhammad Nazri Hamzah (tiga, kiri) ketika program bantuan banjir di Seksyen 28, Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
Alexander menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhammad Nazri Hamzah (tiga, kiri) ketika program bantuan banjir di Seksyen 28, Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama

KPDNHEP kenal pasti peniaga berdaftar terjejas banjir

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengenal pasti komuniti peniaga berdaftar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata KPDNHEP memerlukan maklumat terperinci mengenai komuniti peniaga berdaftar itu bagi membolehkan bantuan bersesuaian disalurkan kepada golongan terbabit.

"Kita akan melihat bagaimana boleh membantu komuniti peniaga terkesan akibat banjir, sebab ketika COVID-19 pun kita ada kaedah untuk membantu mereka.

"Kita akan mengumpul maklumat, jadi kita berharap mereka akan tampil ke pejabat atau mana-mana cawangan KPDNHEP dan maklumkan mereka perlu bantuan," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Lombong, Seksyen 29 dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Alam Megah 3, Seksyen 28, di sini, hari ini.

Alexander berkata, beliau juga akan membawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet untuk diteliti.

"Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet supaya kerajaan dapat memikirkan kaedah membantu peniaga dan penjaja kecil. Kita faham mereka terjejas akibat banjir ini," katanya.

Sementara itu, katanya, Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) KPDNHEP ditubuhkan bagi menyelaras usaha penyaluran bantuan kepada golongan terkesan susulan banjir di Selangor.

Beliau berkata, keutamaan SSB mengenal pasti keperluan asas dan bantuan lain, selain menggerakkan petugas sukarelawan turun padang membersihkan kediaman mangsa banjir.

"Penyelarasan gerak kerja turut dibuat bagi memastikan tenaga sukarelawan ditumpukan ke kawasan yang belum diberikan perhatian dan memerlukan sokongan orang ramai.

"SSB KPDNHEP memberikan bantuan barangan seperti beras, minyak masak, gula dan susu yang sukar didapati ketika banjir, berikutan pelbagai premis jualan ditenggelami air, kawasan di pinggir bandar dan akses jalan terputus.

"Semalam, saya dan SSB KPDNHEP menyantuni penduduk Taman Bandar Sri Ehsan, Bukit Changgang, Banting dan hari ini di kawasan ini," katanya.

Berita Harian X