Khamis, 23 Disember 2021 | 6:09pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

SWCorp bantu Selangor bersih kawasan banjir

KUALA LUMPUR : Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sudah dikerah membantu menyegerakan kerja pembersihan di kawasan terjejas khususnya di Selangor bagi membolehkan longgokan sisa pepejal akibat banjir dapat dibersih dan dilupus segera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pihaknya sedar pasca banjir khususnya banjir kilat, meninggalkan kesan besar terhadap persekitaran kawasan yang dilanda bencana itu.

"Saya sudah mengarahkan SWCorp turun dalam operasi pasca banjir di Selangor. Biarpun Selangor tidak mengikut Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007), namun ini atas asas kemanusiaan dan juga kerana peristiwa banjir di Selangor itu sendiri.

"Ini adalah musibah luar biasa yang menimpa rakyat. KPKT melalui SWCorp mengambil tanggungjawab membantu kerajaan negeri untuk ops pasca banjir," katanya kepada BH, hari ini.

Ketika ini, negeri yang menguatkuasa Akta 672, yang mana urusan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dikendali SWCorp menerusi syarikat konsesi termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah serta Perlis, manakala negeri lain diurus syarikat konsesi sendiri dengan Selangor dikendalikan oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB).

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPKT juga memperuntukkan RM6 juta kepada SWCorp bagi kerja pemulihan dan pembersihan di kawasan terjejas dengan Selangor saja memfokus kepada kawasan Hulu Langat, Sepang, Shah Alam serta Klang.

Selain itu, katanya, peruntukan RM50 juta disediakan KPKT kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kos membaik pulih infrastruktur di 25 PBT yang terjejas banjir, selain RM2 juta lagi menerusi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi keperluan asas dan bakul makanan.

"Saya juga meminta mana-mana PBT (yang kawasannya tidak terjejas) turun sama membantu kerana ini isu sejagat. Kita turun atas nama membantu rakyat. Pasca banjir memerlukan kehadiran kita melalui SWCorp, PR1MA dan agensi lain, kita akan turun membantu," katanya.

Tinjauan BH di sekitar Hulu Langat semalam dan hari ini mendapati, kerja pembersihan kawasan banjir giat dilakukan penduduk dan mangsa dengan longgokan sisa banjir kelihatan dikumpul dan diletakkan di tepi jalan serta depan kediaman sebelum diangkut ke lokasi pelupusan.

Kemusnahan besar harta benda membabitkan kawasan terjejas banjir, memaksa kerja pembersihan yang bermula hujung minggu lalu masih berjalan hingga kini.

Usaha dan kerja pembersihan oleh syarikat konsesi dan pelbagai agensi, selain turut dibantu sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO), komuniti serta parti politik itu, perlu disempurnakan segera bagi mengelak kemunculan bakteria yang boleh mengundang penularan penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kelmarin meminta orang ramai menggunakan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah ketika melakukan kerja pembersihan banjir lumpur, bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus), melioidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air serta makanan.

Berita Harian X