Khamis, 23 Disember 2021 | 5:47pm
Sukarelawan Skuad Antidadah AADK membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor. - Foto AADK
Sukarelawan Skuad Antidadah AADK membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor. - Foto AADK

Skuad Antidadah AADK turut bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Banjir besar di Hulu Langat, Selangor, Sabtu lalu, bukan hanya pengalaman terburuk terpaksa dilalui penduduk di sana malah situasi selepas air surut yang begitu teruk disifatkan tidak ubah seperti kesan selepas tsunami.

Penduduk Taman Sri Nanding, Heliza Azizan, 40, berkata peristiwa banjir besar itu akan terpahat sebagai pengalaman pahit yang sukar untuk dilupakannya.

Meskipun pernah berdepan banjir sebelum ini, tetapi kejadian Sabtu lalu adalah yang paling teruk terpaksa dilalui hinggakan beliau terduduk apabila melihat keadaan persekitaran rumah sebaik keadaan air surut.

"Kami terkedu, terduduk dan tak tahu nak mula dari mana. Keadaan rumah tidak ubah seperti tsunami selepas air surut.

"Buntu memikirkan di mana mahu mula tetapi nasib kami baik, ada pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) datang menghulur bantuan saat kami memerlukan. Terima kasih sukarelawan Skuad Antidadah AADK," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sukarelawan Skuad Antidadah AADK membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor. - Foto AADK
Sukarelawan Skuad Antidadah AADK membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor. - Foto AADK

AADK menggerakkan lebih 100 Skuad Antidadah sejak Ahad lalu meliputi beberapa kawasan yang terjejas dengan banjir di Lembah Klang dan Selangor.

Selain membantu penduduk membersihkan kediaman yang terjejas teruk, Skuad Antidadah juga turut mengagihkan barangan keperluan asas dan pakaian kepada mereka yang terkesan.

Sementara itu, penduduk, Mohd Izzuddin Ahmad Bahrin, 28, berkata bantuan tenaga dihulurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membangkitkan semula semangatnya untuk meneruskan kehidupan selepas berdepan bencana alam itu.

"Selain barangan keperluan harian seperti makanan dan pakaian untuk kembali memulakan hidup baru, kami sebenarnya amat memerlukan bantuan tenaga.

"Semua barang rumah kebanyakannya musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kami harap ada pihak lain yang sudi bersama-sama kami sepertimana dilakukan Skuad Antidadah," katanya.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 21,385 mangsa banjir daripada 5,510 keluarga) dicatatkan di Selangor setakat semalam.

Angka itu meningkat sedikit berbanding 21,047 dari 5,274 keluarga sebelum itu dengan kesemua mereka ditempatkan di 117 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pihak yang ingin bersama-sama membantu, boleh melakukannya dengan menyerahkan sumbangan di ibu Pejabat AADK, Kajang.

Maklumat lanjut hubungi talian hotline AADK 03-8911 2233 atau Whatsapp 019-626 2233.

Berita Harian X