Rabu, 22 Disember 2021 | 8:18pm

Hentikan kecam, tohmah usaha bantu mangsa banjir - YKN

PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berharap kecaman dan tohmahan terhadap usaha murni membantu mangsa banjir wajar dihentikan sebaliknya masyarakat memberi tumpuan kepada usaha membantu mereka yang dalam kesusahan.

Menjawab isu sekeping gambar yang tular di media sosial dengan dakwaan satu majlis bantuan banjir dijalankan di sebuah hotel sejak beberapa hari lalu, YKN dalam satu kenyataan, berkata program itu adalah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Shapadu Group untuk membantu mangsa yang terkesan dalam bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Katanya, YKN dijemput menerima sumbangan daripada Shapadu Group yang bermurah hati menyumbang wang tunai berjumlah RM150,000.

Kenyataan itu juga menyebut, selain sumbangan wang tunai, sukarelawan Thermomix turut bergotong-royong menyediakan 1,000 pek makanan untuk mangsa banjir di hotel berkenaan selain sumbangan wang tunai RM69,880.

"Bantuan itu diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun

yang juga Pengerusi YKN sebelum beliau bergegas ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menyampaikan bantuan.

"YKN menghargai dan berterima kasih atas setiap usaha murni syarikat korporat dalam menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai, pek makanan bermasak, makanan kering dan sebagainya sebagai usaha berterusan membantu mereka yang terkesan dalam mendepani bencana banjir yang kritikal dan mengejutkan seluruh negara.

"YKN tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap dan bagi memastikan dana mencukupi pihak kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan derma daripada individu, syarikat swasta dan sebagainya," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, YKN sentiasa mengamalkan konsep terbuka dalam menerima sumbangan mengikut kesesuaian pihak penaja atau syarikat korporat yang ingin memberi sumbangan.

Sumbangan kepada mangsa banjir boleh disalurkan kepada Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia YKN di nombor akaun 160140010004801 (Alliance Islamic Bank Berhad) atau menghubungi

urusetia YKN di talian 03- 83232143/2430.

YKN berkata, semua sumbangan akan dikecualikan daripada cukai seperti yang diwartakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Berita Harian X