Rabu, 22 Disember 2021 | 7:06pm
Anggota 15 RAMD membantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, hari ini. - Foto TENTERA DARAT
Anggota 15 RAMD membantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, hari ini. - Foto TENTERA DARAT

LRA Pantai, Lakai alami kerosakan akibat banjir

SEREMBAN: Dua Loji Rawatan Air (LRA), iaitu LRA Pantai di Seremban dan Lakai di Jelebu belum dapat beroperasi kerana mengalami kerosakan infrastruktur akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail dalam satu kenyataan, berkata LRA Pantai masih tidak dapat beroperasi disebabkan kerosakan infrastruktur loji yang belum dibaiki berikutan runtuhan tebing sungai dan pokok tumbang menghalang laluan serta sistem bekalan elektrik terputus.

Menurutnya, LRA Klawang beroperasi seperti biasa, namun kemampuan pengeluaran bekalan air pada masa ini hanya 80 peratus memandangkan terdapat beberapa kerosakan yang memerlukan penambahbaikan, manakala 18 lagi LRA di negeri ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.

"SAINS sedang berusaha membaik pulih segala kerosakan di loji dan muka sauk bagi memastikan gangguan bekalan air dapat diminimumkan," katanya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membantu pengguna dengan membekalkan air bersih menerusi tangki statik yang ditempatkan di beberapa kawasan terjejas, selain kerjasama beberapa agensi membekalkan air melalui lori tangki seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Syarikat Air Johor (SAJ) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Sebarang kesulitan berkaitan gangguan bekalan air boleh hubungi 1-800-88-6982 atau layari www.sainswater.com untuk mengetahui kawasan gangguan. - BERNAMA

Berita Harian X