Rabu, 22 Disember 2021 | 3:42pm
Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua dari kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Pusat Perubatan Amal Kek Lok Si, hospital Buddha tidak berasaskan keuntungan yang pertama di Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (dua dari kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Pusat Perubatan Amal Kek Lok Si, hospital Buddha tidak berasaskan keuntungan yang pertama di Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG

KKM bimbang penyakit bawaan air, keracunan makanan ketika banjir

GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) khuatir banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini turut mencetuskan penyakit bawaan air dan keracunan makanan.

Antaranya ialah kepialu, taun atau kolera, disentri atau radang usus, demam, jangkitan pernafasan akut, leptospirosis atau penyakit kencing tikus, denggi dan keracunan makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata selain kes COVID-19, KKM juga menjangka peningkatan penyakit bawaan air dan makanan dalam kalangan mangsa banjir.

"Bagaimanapun, keadaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) ketika ini terkawal dan kementerian juga sudah menubuhkan pasukan khas bagi menguji kualiti air dan makanan di PPS. Kami juga menasihatkan pihak yang mahu memberi sumbangan makanan supaya melakukan ujian terlebih dahulu bagi memastikan ia selamat dimakan.

"Setakat ini, KKM belum menerima sebarang laporan berhubung kes denggi, leptospirosis atau keracunan makanan dalam kalangan mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Perubatan Amal Kek Lok Si, hospital Buddha tidak berasaskan keuntungan yang pertama di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengenai kes COVID-19 membabitkan mangsa banjir, beliau berkata, setakat ini sebanyak 267 jangkitan dilaporkan yang dikesan sebelum penduduk dibawa ke PPS dan kebanyakannya adalah kes kategori 1 serta 2.

"Individu yang diuji positif sudah diasingkan sewajarnya dan tiada kes COVID-19 atau kluster dilaporkan di mana-mana PPS. Kita juga nasihatkan semua mangsa banjir, penyelamat dan sukarelawan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada setiap masa bagi memastikan keselamatan semua.

"Walaupun kami faham mungkin sukar bagi mematuhi SOP yang ketat, diharap SOP itu masih ada," katanya lagi.

Berita Harian X