Rabu, 22 Disember 2021 | 10:32am
Skuad peninjau UTHM berbincang dengan wakil masyarakat bagi mengenal pasti lokasi terjejas banjir di Selangor. - Foto UTHM
Skuad peninjau UTHM berbincang dengan wakil masyarakat bagi mengenal pasti lokasi terjejas banjir di Selangor. - Foto UTHM

UTHM umum cuti bertenang hingga Sabtu

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) mengumumkan cuti bertenang bermula semalam hingga 25 Disember susulan banjir luar biasa di beberapa negeri, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly, berkata sepanjang tempoh berkenaan, semua kuliah dibatalkan dan tiada sebarang pentaksiran serta penghantaran tugas.

"Kuliah dan semua aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan disambung semula pada 26 Disember 2021. Pensyarah boleh menggunakan minggu ulang kaji pada 16 hingga 22 Januari 2022 bagi tujuan penggantian kuliah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wahid berkata, sekiranya ada penuntut yang masih terkesan menghadapi masalah penggantian kelas sepanjang tempoh yang diberi, mereka boleh berhubung atau memaklumkan kepada fakulti masing-masing.

"Selain itu, tiada sebarang perubahan kalendar akademik sesi 2021/2022 sedia ada selain tempoh bertenang berkenaan dan tarikh seperti peperiksaan akhir adalah dikekalkan. Seperti sedia maklum, beberapa negeri dan kawasan dilanda bencana banjir yang luar biasa baru-baru ini," katanya.

Katanya, situasi berkenaan memberi kesan kepada aktiviti PdP bagi semester akademik Sesi 1 2021/2022, terutama kepada penuntut UTHM yang berada di Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Selangor yang sedang mengikuti PdP secara dalam talian.

"Pengurusan tertinggi UTHM amat prihatin dan mengambil berat kebajikan serta situasi penuntut yang berhadapan kesukaran mengikuti PdP pada masa ini. Diharapkan semua penuntut terbabit dengan banjir berada dalam keadaan selamat dan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan berkenaan," katanya.

Semalam, UTHM memaklumkan, universiti itu akan menggerakkan 300 pelajar di bawah misi bantuan banjir untuk membantu mangsa bencana berkenaan di Selangor, membabitkan kawasan Shah Alam, Hulu Langat dan Klang yang terjejas teruk akibat banjir 19 Disember lalu.

Sebagai langkah awal, UTHM menghantar tiga skuad peninjau bagi mengenal pasti lokasi terjejas di tiga daerah berkenaan sebelum menggerakkan sukarelawan UTHM ke lokasi berkaitan dengan kumpulan pertama sukarelawan dijangka memulakan misi bantuan pada 23 Disember.

Berita Harian X