Rabu, 22 Disember 2021 | 12:30am
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Institusi Politeknik Terbaik kepada Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam disaksikan oleh Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (kiri) pada Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi (AKKPT 21) hari ini. - BERNAMA
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Institusi Politeknik Terbaik kepada Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam disaksikan oleh Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (kiri) pada Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi (AKKPT 21) hari ini. - BERNAMA

Agenda keusahawanan di IPT diperhebat

PUTRAJAYA: Usaha menyokong agenda keusahawanan di institusi pengajian tinggi (IPT) akan dipergiatkan di semua peringkat, bagi melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata usaha itu akan melahirkan lebih banyak syarikat pemula yang ditubuhkan oleh pelajar, serta mampu bersaing di pasaran yang lebih kompetitif dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkasakan agenda keusahawanan di IPT mencapai kejayaan membanggakan, antaranya Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu, sebagai rujukan utama IPT dalam iltizam melahirkan lebih ramai usahawan pelajar dan usahawan graduan.

Noraini berkata, inisiatif GetHired@KPT memberi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan ditawarkan kepada graduan, melalui program pemahiran semula dan peningkatan kemahiran serta keusahawanan.

"KPT menyasarkan seramai 18,611 orang graduan menerima manfaat daripada inisiatif ini. Dan, Alhamdulillah, sehingga 13 Dis 2021, sejumlah 17,727 graduan atau 95.25 peratus daripada jumlah yang disasarkan, menerima penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan di bawah inisiatif ini," katanya pada majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 (AKKPT21), di sini hari ini.

Noraini berkata, sepanjang 2016 hingga 2020, seramai 178,830 orang pelajar pula direkodkan menjalankan perniagaan ketika tempoh pengajian.

"Daripada jumlah itu, 29,755 atau 16.63 peratus graduan meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian.

"Terkini, pencapaian setakat separuh penggal 2021 menunjukkan bahawa siswa yang terbabit dalam aktiviti keusahawanan mencecah angka 52,377 orang," katanya.

Noraini berkata, AKKPT yang dahulunya dikenali sebagai 'Ministry of Education Entrepreneurial Awards' (MEA) mula diperkenalkan sejak 2011.

Katanya anugerah ini adalah platform pengiktirafan tertinggi kementerian terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi pendidikan tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan, untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT, selain meningkatkan persaingan sihat dan menyuburkan semangat keusahawanan.

Beliau berkata, buat julung-julung kalinya AKKPT21 mendapat kerjasama strategik dengan agensi lain dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), bertindak sebagai ketua penyelaras bagi Jawatankuasa Kerja Penilaian Anugerah.

Noraini berkata, di sebalik cabaran getir pandemik COVID-19 yang membataskan pergerakan ramai pihak, penganjuran AKKPT 21 telah berjaya menarik 133 penyertaan dari universiti awam, IPT swasta, politeknik kolej komuniti.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Institusi Terbaik Keusahawanan, Perusahaan Pelajar Terbaik, Perusahaan Graduan Terbaik, Mentor Usahawan Terbaik dan Projek Usahawan Sosial Terbaik.

Universiti Malaysia Kelantan memenangi anugerah institusi terbaik keusahawanan bagi kategori universiti, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi kategori politeknik dan Kolej Komuniti Sungai Petani bagi kategori kolej komuniti.– BERNAMA

Berita Harian X