Selasa, 21 Disember 2021 | 8:17pm
Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Paya Besar, Kuantan, Pahang. - Foto NSTP/Fairul Hafiz Awang
Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Paya Besar, Kuantan, Pahang. - Foto NSTP/Fairul Hafiz Awang

86 kes positif COVID-19 babitkan mangsa banjir - KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 86 lagi kes positif baharu COVID-19 yang dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 267 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes yang dikesan itu, 75 daripadanya ketika saringan sebelum memasuki pusat pemindahan sementara (PPS), manakala baki selebihnya kes sedia ada.

"Setakat ini, tiada kejadian kes positif COVID-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir ketika berada di PPS.

"Semua 86 kes sudah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain. Sembilan kes ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hospital (12), PPS kuarantin (62) dan menjalani kuarantin di rumah (tiga)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, selain COVID-19 kejadian banjir turut berisiko meningkatkan kejadian penyakit berjangkit lain seperti keracunan makanan (AGE), tifoid dan kolera, penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan demam denggi.

"Sehingga hari ini, sejumlah 203 kes ARI, penyakit kulit (73 kes), AGE (19), demam (12), cacar air (dua), penyakit berjangkit lain yang membabitkan mangsa banjir (55).

"Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis dan denggi yang dilaporkan sehingga kini," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan petugas kesihatan di semua fasiliti kesihatan, termasuk swasta untuk lebih berwaspada mengenai gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir.

Berita Harian X