Selasa, 21 Disember 2021 | 7:45pm
Rina bersama Menteri di JPM (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad melawat PPS mangsa banjir di Sekolah Rendah Agama Bukit Canggang hari ini. FOTO BERNAMA
Rina bersama Menteri di JPM (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad melawat PPS mangsa banjir di Sekolah Rendah Agama Bukit Canggang hari ini. FOTO BERNAMA

Lebih 7,000 pegawai JKM digerak ke 8 negeri banjir

BANTING: Lebih 7,000 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digerakkan ke lapan negeri terjejas akibat banjir bagi menyantuni mangsa banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, negeri terbabit Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Kesemua mereka digerakkan ke lokasi sejak hari pertama banjir berlaku. Selain menghulurkan bantuan, ada juga di antara mereka kaunselor memberi khidmat kaunseling kepada mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang di sini hari ini, Rina berkata, pegawai daripada enam agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut terbabit.

Mengenai siri lawatannya ke PPS, Rina berkata ia membantu pihaknya mengenal pasti jenis keperluan serta permasalahan yang dihadapi mangsa bencana alam terbabit.

Beliau yang berpuas hati dengan aspek pengurusan dan sumbangan kepada mangsa banjir berkata, sumbangan daripada pelbagai pihak masih dialu-alukan, bagi memastikan tiada golongan tercicir.

"Saya lihat dari segi sumbangan Alhamdulillah mencukupi, cuma selepas ini KPWKM akan bantu bagaimana untuk mereka bersihkan kediaman mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Lebih 500 orang daripada 313 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang sejak dibuka pada Sabtu lalu. – BERNAMA

Berita Harian X