Selasa, 21 Disember 2021 | 7:05pm
Tengku Zafrul pada sidang Dewan Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA
Tengku Zafrul pada sidang Dewan Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA

Bayaran manfaat mySalam meningkat lebih 6 kali ganda pada 2020

KUALA LUMPUR: Bayaran manfaat skim mySalam bagi hospitalisasi serta penyakit kritikal, meningkat kepada RM76.9 juta atau lebih enam kali ganda pada 2020 dan seterusnya meningkat kepada RM120.9 juta untuk tempoh 11 bulan hingga November 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata mySalam juga telah mengeluarkan RM119.6 juta hingga November lalu atas tuntutan berkaitan COVID-19.

Beliau berkata, skim itu membantu 4.3 juta individu B40 dengan bayaran manfaat berjumlah RM11.5 juta pada 2019.

"Di samping itu, dalam Bajet 2022, skim mySalam akan diperluas hingga dua kali ganda bagi merangkumi lebih sembilan juta individu.

"MySalam juga telah ditambah baik dengan peruntukan RM50 juta bagi bantuan peranti perubatan kepada B40," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 bagi Kementerian Kewangan pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau prestasi dan menambah baik skim itu berdasarkan kemampuan dana mySalam.

"Umumnya, piagam pelanggan memproses tuntutan ialah 10 hari bekerja. Bagi mengurangkan insiden kelewatan dan meningkatkan kesedaran, bilangan kakitangan ditingkatkan, di samping kaunter khas disediakan di hospital utama setiap negeri," katanya.

Mengenai keselamatan skim itu pula, Tengku Zafrul berkata, data penerima skim mySalam yang dikendalikan oleh Great Eastern Takaful Bhd, hanya akan digunakan bagi tujuan skim berkenaan dan tidak dibenarkan untuk kegunaan lain seperti menjual produk insurans atau takaful.

"Keselamatan data penerima mySalam adalah serius dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.

Berhubung Baucar Perlindungan Tenang, beliau berkata, kesemua lapan juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat layak menerima baucar bernilai RM50 yang diumumkan dalam Bajet 2021 untuk manfaat golongan B40.

"Hingga 15 Disember lalu, hampir 900,000 orang daripada golongan B40 telah menebus baucar ini dengan nilai hampir RM45 juta melalui pembelian insurans atau takaful yang didaftarkan sebagai produk Perlindungan Tenang.

"Secara umum, program ini membabitkan 16 syarikat insurans dan pengendali takaful bawah Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia," katanya.

Tengku Zafrul berkata, semakan kelayakan untuk menuntut baucar itu boleh dibuat dengan melayari www.myPTV.my atau mengunjungi mana-mana syarikat insurans atau pengendali takaful yang menawarkan produk Perlindungan Tenang.

Bagi pemohon yang layak, katanya, penebusan baucar boleh dibuat dengan melayari www.mycoverage.my atau pembelian terus di kaunter.

"Produk Perlindungan Tenang merangkumi pelbagai jenis perlindungan, termasuk perlindungan untuk insurans hayat, penyakit kritikal, hospitalisasi, hilang upaya, kebakaran dan kerosakan isi rumah akibat banjir," katanya.

Beliau berkata, Baucar Perlindungan Tenang juga telah ditambah baik dan ditingkatkan nilainya kepada RM75 bagi 2022.

Katanya, golongan B40 boleh menebus baucar itu mulai 1 Januari tahun depan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang berdaftar. – BERNAMA

Berita Harian X