Selasa, 21 Disember 2021 | 6:18pm
PENSYARAH Kanan Pusat Kajian Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wye Chung Khain. - Foto UKM
PENSYARAH Kanan Pusat Kajian Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wye Chung Khain. - Foto UKM

Ketidakpadanan pekerjaan jejas daya produktiviti graduan

KUALA LUMPUR: Negara dijangka terus berada dalam 'perangkap pendapatan sederhana' bersama pertumbuhan ekonomi yang perlahan, sekiranya isu graduan terpaksa menceburi pekerjaan tidak sepadan pendidikan dan kemahiran tinggi dimiliki mereka, gagal ditangani secara berkesan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wye Chung Khain, berkata ini kerana jika sumber tenaga berkemahiran tinggi itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya, negara tidak akan mampu menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja memberi impak secara langsung terhadap negara tetapi juga menjejaskan daya produktiviti graduan kerana tidak dapat menerapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi mereka dalam pekerjaan.

"Jika masalah ketidakpadanan ini berlanjutan dalam tempoh panjang, dikhuatiri perolehan seumur hidup mereka akan terjejas," katanya kepada BH.

Malah, Chung Khain berkata, isu berkenaan sekali gus mendedahkan kepincangan dalam proses perancangan tenaga kerja.

"Keperluan pasaran buruh kurang disampaikan kepada penyedia pendidikan, manakala kurikulum program akademik pada peringkat tertiari kurang menggambarkan keperluan kemahiran dalam alam pekerjaan sebenar.

"Selain itu, usaha menarik pelaburan langsung asing kurang menumpukan penghasilan barangan berteknologi tinggi bagi memanfaatkan penawaran buruh berkemahiran tinggi sedia ada di negara ini. Maka, peluang pekerjaan tidak tercipta bagi menyerap buruh mahir," katanya.

Justeru, beliau berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diarusperdanakan supaya menjadi pilihan utama pelajar.

Katanya, usaha itu dilihat berupaya memacu kerjasama dengan syarikat terkemuka, dalam penyediaan latihan teknikal kepada institusi TVET.

Sementara itu, Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM), Sivanesan Tamil Selvam, berkata kerajaan perlu melaksanakan beberapa tindakan bagi menangani isu itu.

"Kementerian Sumber Manusia perlu menumpukan pembentukan kebolehan pekerja melalui peningkatan kemahiran teras dan kemahiran proses, serta pemupukan personaliti yang baik.

"Selain itu, masalah kepincangan gaji akibat isu ketidakpadanan berkenaan juga perlu diselesaikan, dengan mengkaji semula penstrukturan gaji minimum pekerja selari dengan kelayakan pendidikan," katanya.

Beliau turut berpandangan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu membuat kajian pasaran buruh di dalam dan luar negara bagi mewujudkan program pengajian mampu menampung keperluan pasaran tanpa menjejaskan kualiti serta gaji graduan muda.

Berita Harian X