X
Selasa, 21 Disember 2021 | 3:35pm

Banjir kebanyakan negeri makin pulih, mangsa di Pahang, Negeri Sembilan bertambah

KUALA LUMPUR: Situasi banjir yang melanda negara mula menunjukkan perkembangan positif setakat tengah hari tadi apabila terdapat pengurangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri.

Malah, banjir yang melanda Terengganu pulih sepenuhnya hari ini dengan tiga PPS di Kemaman ditutup secara berperingkat bermula 9 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan, memaklumkan PPS terakhir iaitu di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor, Kemaman ditutup pada 12 tengah hari.

Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria pula berkata cuaca baik tanpa hujan lebat berterusan di keseluruhan negeri sejak semalam dijangka berlanjutan untuk tempoh seminggu lagi.

Di Selangor, laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan, paras Sungai Selangor masih berada pada tahap bahaya, namun dalam trend menurun iaitu di Kampung Asahan pada ketinggian 3.71 meter dan Sungai Selangor di Rantau Panjang pada ketinggian 8.23 meter.

 Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menyalurkan RM1.5 juta menerusi Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat kepada mangsa banjir di negeri ini.Foto dirakam pada 21 Disember 2021 menunjukkan penduduk Seksyen 25 Shah Alam terpaksa membuang peralatan rumah yang rosak akibat ditenggelami banjir. - Foto fail NSTP
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menyalurkan RM1.5 juta menerusi Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat kepada mangsa banjir di negeri ini.Foto dirakam pada 21 Disember 2021 menunjukkan penduduk Seksyen 25 Shah Alam terpaksa membuang peralatan rumah yang rosak akibat ditenggelami banjir. - Foto fail NSTP

Di Kelantan, jumlah PPS berkurangan kepada 28 yang menempatkan 3,667 orang daripada 1,101 keluarga, setakat 12 tengah hari tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Zainuddin Hussin berkata ia membabitkan PPS di empat jajahan, iaitu Kuala Krai (13 PPS), Pasir Mas (11) dan masing-masing dua di Gua Musang dan Tanah Merah.

Portal rasmi eBanjir Kelantan melalui https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan hanya satu sahaja sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 9.76 meter.

Di Perak jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata 263 mangsa masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Penduduk, Shaik Mohd Hasnu Mohideen, 36, menjemur pakaian dan patung milik anaknya selepas banjir di Kampung Kuala Slim, Slim River, Perak semakin pulih, hari ini. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Penduduk, Shaik Mohd Hasnu Mohideen, 36, menjemur pakaian dan patung milik anaknya selepas banjir di Kampung Kuala Slim, Slim River, Perak semakin pulih, hari ini. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Mangsa banjir dari Kampung Kuala Slim, daerah Muallim yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Slim dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air banjir surut pagi tadi.

Katanya, paras semasa air di Sungai Bidor, Hilir Perak pula dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu 3.80 meter pagi tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di negeri itu turun kepada 254 orang daripada 60 keluarga berbanding 465 mangsa pagi tadi.

Pengarah APM, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin, berkata tiga PPS di daerah Melaka Tengah iaitu di PPS Balai Raya Kampung Tanah Merah, PPS SK Krubong dan SK Taman Merdeka ditutup sekitar 12 tengah hari tadi.

Di Pahang, situasi agak berbeza dengan jumlah mangsa meningkat kepada 39,806 orang daripada 10,779 keluarga yang ditempatkan di 280 PPS di sembilan daerah iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan, laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup kedua-dua hala selain Km112.2-Km111.2 dan Km 113 Lanchang-Temerloh kedua-dua arah juga masih ditutup akibat banjir dengan trend air menaik.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor, berkata mangsa banjir melibatkan daerah Jelebu, Port Dickson dan Seremban meningkat kepada 765 orang daripada 188 keluarga.

"Sehingga kini, enam PPS masih dibuka melibatkan empat di Jelebu manakala Port Dickson dan Seremban masing-masing satu," katanya dalam kenyataan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa keluar penduduk selepas banjir mulai surut di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam. - NSTP/BERNAMA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa keluar penduduk selepas banjir mulai surut di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam. - NSTP/BERNAMA
Berita Harian X