Isnin, 20 Disember 2021 | 3:49pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

KPT disaran tangguh kelas online

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan sesi pembelajaran dalam talian susulan banjir besar melanda beberapa negeri.

Presidennya, Muhammad Zakir Abdul Razak, berkata penangguhan itu sebagai tempoh bertenang kepada mahasiswa yang terjejas, selain bagi membolehkan mereka melakukan pembersihan di kediaman masing-masing.

"Situasi banjir yang melanda negara khususnya di Selangor ketika ini amat membimbangkan dan menjejaskan banyak perkara, namun pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi mahasiswa di universiti serta kolej masih diteruskan seperti biasa.

"Susulan itu, PEPIAS menggesa KPT memberikan cuti kepada mahasiswa selama satu hingga dua minggu," katanya dalam kenyataan, semalam.

Muhammad Zakir berkata, sepanjang penangguhan pengajian itu, mahasiswa lain digalakkan turun ke lapangan dan membantu mangsa banjir yang memerlukan.

Beliau berkata, PEPIAS juga menyarankan KPT memberikan bantuan sewajarnya untuk membantu mahasiswa terjejas.

"KPT disaran memberikan bantuan sekali bayar (one-off) bagi membantu mahasiswa membeli semula buku rujukan dan peranti pembelajaran yang rosak atau hilang.

"Selain itu, KPT juga perlu menyediakan medium sokongan emosi melalui institusi pengajian tinggi (IPT) kepada mahasiswa terjejas," katanya.

Muhammad Zakir berkata, pihaknya turut menggerakkan usaha mengumpulkan dana dan tenaga sukarelawan bagi membantu mangsa banjir terjejas di sekitar Hulu Langat, Shah Alam, Klang, Kuala Selangor dan beberapa kawasan lain.

Berita Harian X