Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:42pm

Tiada keperluan buka PPV Mega bagi dos penggalak

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi mempercepatkan dos penggalak, sebaliknya dana serta sumber yang ada perlu digunakan bagi mengukuhkan sektor kesihatan awam.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Koh Kah Chai, berkata sehingga kini 2,459 PPV swasta menguruskan pemberian dos penggalak di seluruh negara.

Katanya, peratusan mereka yang tidak hadir janji temu dos penggalak masih tinggi dan isu berkenaan perlu ditangani segera.

"Terdapat keraguan dalam kalangan orang ramai untuk menerima vaksinasi 'heterologous'.

"Justeru, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meyakinkan orang ramai bahawa dos penggalak 'heterologous' adalah selamat. Daripada maklum balas yang diterima, masih ramai enggan menerima suntikan Pfizer selepas divaksinasi sepenuhnya dengan Sinovac.

"Apabila tiada pilihan diberikan, ramai yang memilih untuk tidak menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kah Chai berkata, pembukaan pusat pemberian dos penggalak yang besar tidak diperlukan sekiranya peratusan yang tidak hadir janji temu adalah tinggi.

"Ia akan menjurus kepada pembaziran dana dan sumber yang boleh digunakan dengan lebih baik di kawasan yang lebih memerlukan bantuan segera dalam sektor kesihatan negara kita," katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan semula rancangan berkenaan dan memberi tumpuan bagi meyakinkan orang ramai mengenai keselamatan dos penggalak 'heterologous' melalui perkongsian bukti yang mencukupi serta diiktiraf oleh pertubuhan kesihatan dunia.

"Di samping itu, PPV swasta akan melakukan tugasnya dengan bekerjasama dengan pihak kerajaan, dalam pemberian dos penggalak.

"Pengamal perubatan swasta telah menyumbang kepada 48 peratus daripada jumlah pemberian vaksin di seluruh negeri. Kami percaya pengambilan dos penggalak akan meningkat pada minggu akan datang, cuma orang ramai memerlukan sedikit galakan untuk meyakinkan mereka.

"Antara cara terbaik untuk mencapai matlamat ini adalah melalui PPV pengamal perubatan swasta yang kerap berhubung dengan pesakit mereka.

"Layanan 'impersonal' di PPV Mega tidak dapat membantu untuk mengatasi keraguan terhadap vaksin dan sebaliknya akan menimbulkan perdebatan mengenai tindakan kerajaan yang menggesa untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada rakyat," katanya.

Kah Chai berkata, ketika pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan masih perlu membayar utiliti seperti elektrik dan kos pemasangan yang agak tinggi walaupun tempat disediakan percuma.

"Pekerja sektor kesihatan awam kini sepatutnya berada di kemudahan penjagaan kesihatan awam yang ditetapkan kerana terdapat kekurangan tenaga pekerja di hampir semua kemudahan penjagaan kesihatan awam," katanya.

Berita Harian X