X
Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:28pm
Hafizudin (kanan) dan Abdul Hakim menyelamatkan tiga kucing terperangkap di surau akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, Masjid Tanah, Melaka. - NSTP/HASSAN OMAR
Hafizudin (kanan) dan Abdul Hakim menyelamatkan tiga kucing terperangkap di surau akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, Masjid Tanah, Melaka. - NSTP/HASSAN OMAR

2 remaja gadai nyawa selamat kucing terperangkap bah

MASJID TANAH: Dalam sibuk membantu penduduk Kampung Telok Berembang di Lubok Cina, dekat sini memindahkan dokumen dan barangan berharga ketika banjir, dua remaja sanggup menggadai nyawa meredah arus deras bah untuk menyelamatkan tiga kucing yang terperangkap di surau.

Hafizudin Fahim Akmal Hashim, 17, dan rakan sebaya, Abdul Hakim Johari ketika itu sedang meninjau sekitar kampung berkenaan dengan menunggang motosikal untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.

"Rumah kami tidak dilanda banjir, jadi kami meronda keliling kampung dengan motosikal untuk membantu penduduk yang terjejas apabila saya teringatkan ada tiga kucing di surau. Kami terpaksa redah air setinggi kira-kira 1.3 meter sebelum tiba di surau untuk menyelamatkan kucing yang berlindung di atas almari," kata Hafizudin ketika ditemui.

Sementara itu, Yusof Hassan, 70, berkata sebaik sahaja kediamannya dinaiki air pada jam 4 pagi tadi, dia mengarahkan anak, Mohd Reini, 45, segera menyelamatkan diri bersama dua cucu, Nurul Natasha Umaira, 14, dan Aras Naufal, 4.

"Saya tidak mahu cucu saya, Nurul Natasha terjatuh lagi ke dalam air seperti kejadian semasa banjir pada 21 Oktober lalu yang meninggalkan kesan hitam dalam hidup cucu saya. Saya tidak mahu ia berulang lagi," katanya.

Katanya, selepas Mohd Reini dan dua kanak-kanak itu menyelamatkan diri, dia menunggu di kediamannya sehinggalah air naik ke paras 1.5 meter pada jam 5 pagi sebelum menyelamatkan diri dengan motosikal roda tiganya.

Mengimbau kejadian jam 4 pagi 21 Oktober lalu, Yusof berkata, Nurul Natasha hampir lemas selepas tenggelam dalam air setinggi kira-kira 1.5 meter akibat banjir melanda kediaman mereka.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina itu sedang turun tangga di hadapan rumah, namun terjatuh ke dalam air dan dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira tiga meter. Dia bernasib baik tersangkut pada tiang elektrik sebelum diselamatkan Yusof.

Berita Harian X