Sabtu, 18 Disember 2021 | 3:52pm
Varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Afrika Selatan. - Grafik hiasan NSTP
Varian baharu COVID-19, Omicron dikesan di Afrika Selatan. - Grafik hiasan NSTP

Sinovac berkesan 94 peratus terhadap Omicron

KUALA LUMPUR: Dos penggalak vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Biotech (Sinovac) berkesan sehingga 94 peratus terhadap varian baharu COVID-19, Omicron.

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) memaklumkan, itu antara hasil penemuan awal dalam kajian oleh Sinovac membabitkan tiga dos vaksin itu dengan dua strain Omicron yang diperoleh dari Hong Kong.

"Keputusan ujian makmal terkini menunjukkan apabila diuji dengan strain Omicron, 35 peratus daripada 20 sampel serum membabitkan penerima dua dos vaksin CoronaVac diuji positif bagi antibodi peneutral virus.

"Bagi penerima tiga dos vaksin, 94 peratus atau 45 daripada 48 sampel dikesan positif dengan antibodi peneutral virus.

"Hasil ujian ini menunjukkan dos ketiga vaksin Sinovac berkesan meningkatkan keupayaan serum itu untuk meneutralkan strain Omicron. Kajian lanjut terhadap strain Omicron yang lain sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pharmaniaga, hasil kajian itu selari dengan kenyataan Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negara Sinovac, Weining Meng, yang memaklumkan suntikan penggalak yang diberi dalam sela masa antara enam hingga 12 bulan selepas dos kedua, akan melonjakkan kekuatan tindak balas imun.

Jelas Pharmaniaga, kajian Akademi Sains China di Peking University dan Sinovac menunjukkan individu yang menerima tiga dos vaksin Sinovac, membolehkan tempoh perlindungan kekal lebih lama dan memiliki daya tahan lebih baik.

"Semua kajian saintifik ini selaras pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meminta semua penerima vaksin Sinovac dengan dan semua penerima pelbagai jenis vaksin berusia 60 tahun ke atas, mendapatkan dos penggalak menjelang akhir Februari 2022.

"Kebanyakan penduduk dewasa China juga sudah menerima suntikan dos penggalak. Mereka mula memberi vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun sejak Oktober lalu.

"Walaupun memiliki penduduk lebih 1.4 bilion, China hanya merekodkan 546 kes baharu dan sifar kes kematian sepanjang minggu lalu," katanya.

Remaja lelaki menerima dos Sinovac di Banda Aceh, Indonesia. - Foto AFP
Remaja lelaki menerima dos Sinovac di Banda Aceh, Indonesia. - Foto AFP

Berita Harian X