Jumaat, 17 Disember 2021 | 8:28pm
- Hiasan
- Hiasan

Pemimpin keluar parti itu lumrah - Anifah

KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan tindakan beberapa pemimpin tertinggi parti terbabit keluar beramai-ramai hari ini sebagai lumrah politik.

Beliau berkata, tindakan segelintir pemimpin itu keluar parti berkemungkinan khuatir tidak terpilih mendapat jawatan penting susulan rombakan bakal berlaku dalam PCS dalam tempoh terdekat.

"Sebagai ahli politik yang matang, kita tidak boleh halang mereka meninggalkan parti dan ia hak mereka membawa haluan masing-masing di kancah politik negara.

"Namun, saya tegaskan di sini, PCS tetap berdiri utuh memperjuangkan hak Sabah terutama berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat.

"Saya ucapkan terima kasih dan semoga jaya kepada mereka walaupun berlainan platform nanti. Saya berharap usaha memperjuangkan hak rakyat Sabah akan terus diutamakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media melaporkan beberapa pemimpin tertinggi PCA mengisytiharkan keluar dari parti itu secara 'en bloc', hari ini.

Gerakan itu diketuai bekas Naib Presidennya, Datuk Ewon Ebin yang mendakwa menerima tekanan daripada akar umbi dan mempersoal hala tuju PCS selepas parti itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

Berita Harian X