Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:17pm
Foto hiasan
Foto hiasan

4,362 kes baharu COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 4,362 kes baharu COVID-19, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,711,764 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

"Daripada jumlah yang dikesan hari ini, sejumlah 4,334 kes adalah penularan tempatan dengan 28 kes pula adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kes yang dilaporkan ini membabitkan 98 peratus atau 4,273 pesakit COVID-19 kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan manakala, bakinya iaitu dua peratus bersamaan 89 kes dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan serta kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, daripada kes aktif di negara ini terdapat 400 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 315 kes disahkan COVID-19 serta 85 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 198 kes iaitu 143 kes disahkan COVID-19 dengan 55 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengulas mengenai 12 kluster baharu yang dikesan oleh pihaknya, Dr Noor Hisham berkata, perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 6,074 kluster pernah dilaporkan dan kini masih ada 257 kluster masih aktif.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memakluman setakat tengah hari tadi, sebanyak 5,098 kes sembuh dilaporkan, ia sekali gus menjadikan jumlah individu yang sudah sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 2,625,245 kes.

Berita Harian X