Khamis, 16 Disember 2021 | 8:00pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) bergambar bersama pemenang Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021 pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) bergambar bersama pemenang Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021 pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 hari ini. - Foto BERNAMA

Tangani kes buli secara tuntas

PUTRAJAYA: Isu buli di sekolah yang berlarutan sejak sekian lama perlu ditangani menerusi pendekatan tuntas dan menyeluruh.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata usaha membanteras gejala buli tidak boleh dilihat kepada satu komponen sahaja, sebaliknya keseluruhan ekosistem perlu diperkukuh.

Beliau berkata, semua pihak tidak wajar bercakap mengenai hukuman dan pelaporan serta pemantauan semata-mata, sebaliknya memikirkan sama ada kesedaran wujud dalam kalangan pelajar sendiri.

"Kesedaran terhadap buli termasuk keperluan mendidik anak-anak mengenai tindakan rasional dan empati terhadap orang lain.

"Di sesetengah sekolah, ada pelajar menganggap membuli pelajar baharu sebagai tradisi.

"Kesedaran itu penting. Ia bukan mengenai tradisi, sebaliknya ia perlu dibanteras sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru 2021 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Radzi berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya kuasa merotan dipulangkan kepada guru, susulan kejadian buli yang kerap dilaporkan ketika ini.

Tegasnya, Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai tatacara sendiri dan apa yang akan dilakukan ketika ini adalah menambah baik prosedur sedia ada.

Apabila sesi persekolahan bermula kelak, katanya, tumpuan terhadap program kesedaran diberi di sekolah di seluruh negara, bersama pegawai perhubungan polis sekolah terbabit.

Mengenai status 10 pelajar di Perak yang dibuang selepas terbabit kes buli minggu lalu, Radzi berkata, mereka akan diterima masuk ke dalam sistem persekolahan KPM namun perlu melalui proses pemantauan kaunseling.

"Kita akan menerima murid ini tetapi mereka sudah ada rekod. Dalam konteks ini, kita bersama kaunselor di sekolah akan memberi kaunseling kerana mereka tidak boleh dibiarkan terus masuk ke dalam sistem sedia ada.

"Perlu ada pemantauan rapi, intervensi kaunselor untuk memastikan ada kesedaran dalam kalangan mereka.

"Buli di sekolah biasanya tidak berlaku seorang dengan seorang sebaliknya secara berkumpulan," katanya.

Radzi berkata, KPM belum menerima permohonan daripada ibu bapa atau penjaga 10 murid yang dibuang itu untuk memasuki sistem pendidikan KPM.

Katanya, kes buli di sekolah berasrama dan sekolah harian adalah berbeza berikutan interaksi murid yang di sekolah harian terhad berbanding di asrama.

"Berikutan itu, pemantauan terhadap kejadian buli di kedua-dua jenis sekolah juga berbeza," katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Radzi berkata, penerapan konsep Sekolahku Sejahtera dalam sistem pendidikan negara bukan bertujuan menambah beban kerja guru apabila dilaksanakan.

Sebaliknya, katanya, ia akan diterapkan melalui proses pengajaran tanpa mengira matapelajaran.

Beliau berkata, ia membabitkan penerapan konsep nilai penting dalam kehidupan pada peringkat yang jauh lebih awal di peringkat sekolah rendah.

Berita Harian X