Khamis, 16 Disember 2021 | 5:36pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab soalan pada persidangan Dewan Negara, hari ini. - BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab soalan pada persidangan Dewan Negara, hari ini. - BERNAMA

COVID-19 jejas pendapatan isi rumah bandar, luar bandar dengan ketara

KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19 telah menjejaskan pendapatan isi rumah dengan ketara, sama ada di bandar mahupun di luar bandar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, ini berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020 yang menunjukkan purata pendapatan kasar bulanan isi rumah di peringkat nasional telah menurun kepada RM7,089 pada tahun itu berbanding RM7,901 pada 2019.

"Memang tidak dinafikan, terdapat jurang pendapatan di antara (isi rumah) bandar dan luar bandar akibat pembangunan luar bandar yang lebih perlahan.

"Mengikut survei pendapatan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, purata pendapatan isi rumah di bandar adalah sebanyak RM8,635 sebulan berbanding RM5,004 bagi isi rumah di luar bandar," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose, Mustapa berkata, jurang terbabit bukan hanya dari segi pendapatan, sebaliknya kerajaan turut memberi perhatian terhadap jurang pembangunan secara keseluruhan, termasuk aspek jalan luar bandar, akses kepada bekalan air dan elektrik serta infrastruktur digital dan elemen lain.

Oleh itu, katanya, kerajaan akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang.

Bagi jangka panjang, beliau berkata, usaha akan terus dilaksanakan untuk mempercepat pembangunan luar bandar, terutama di kawasan terpencil tertentu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Mustapa berkata, usaha berkenaan seperti penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan, mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi, memanfaatkan sepenuhnya guna tanah untuk ekonomi luar bandar serta merancakkan semula industri kotej luar bandar.

"Strategi jangka pendek dan panjang yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ini bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup isi rumah luar bandar, sebaliknya akan turut menyumbang kepada pembangunan kawasan luar bandar secara keseluruhan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X