Rabu, 15 Disember 2021 | 5:03pm
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

MOF, DNB digesa perjelas isu monopoli 5G

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) dan Digital Nasional Berhad (DNB) digesa tampil memberi penjelasan terperinci kepada Kabinet dan rakyat berhubung pelbagai persoalan dan isu berbangkit berkenaan pelaksanaan teknologi 5G.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata antara persoalan utama yang perlu dijawab adalah mengapa DNB dan Ericsson diberi mandat untuk memonopoli penyediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.

Katanya, ia berikutan beliau menerima aduan daripada beberapa syarikat yang menyertai tender penyediaan perkhidmatan 5G, bahawa proses tender itu tidak telus dan wujud kemungkinan berlakunya penipuan tender.

"Saya ada dapat aduan daripada syarikat yang masuk tender 5G bahawa proses tender tidak telus, ada penipuan tender dan sebagainya.

"Kita nak tahu kenapa Ericsson dan DNB memonopoli 5G? Kita nak tahu apa pelan mitigasi dan pengurusan risiko. Jika syarikat Ericsson muflis, apa jadi pada projek ini?. Rakyat kena bertanggungjawab.

"Jadi, jangan kita berahsia kerana apabila menjawab di Parlimen, saya perlu bertanggungjawab kepada pembangkang dan rakyat," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Polemik terbaharu berhubung pelaksanaan 5G timbul selepas Zahidi minggu lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat, bahawa pelantikan DNB sebagai pelaksana tunggal 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan (MOF) tanpa berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM).

Namun, dalam penjelasan balas, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pemilihan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan 5G di Malaysia, sudah dibincangkan antara MOF dan KKMM di Kabinet sejak 2019.

Mengulas perkara itu, Zahidi mendakwa beliau sebagai Timbalan Menteri tidak dimaklumkan langsung mengenai perkara itu kerana ia hanya dibincangkan antara Tengku Zafrul dengan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

"Semasa menjawab di Parlimen, saya tiada maklumat mengenai perbincangan antara menteri dengan menteri kerana ia tak dimaklumkan kepada saya.

"Pengerusi SKMM juga tidak maklumkan sebab sepanjang saya menjawab di Parlimen, beliau tidak permah hadir, cuma pegawai bawahan yang hadir, dan mereka tidak tahu kenapa monopoli, Ericsson.

"Jadi, janganlah dirahsiakan perbincangan antara menteri dengan menteri. Jelaskan kepada semua kerana ini projek mega membabitkan kos hampir RM20 bilion…kita mahu jadi kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau memaklumkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Tan Sri Annuar Musa sudah mengadakan perbincangan dengan MOF semalam, dan akan membuat laporan lanjut kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet.

Katanya, beliau turut membangkitkan tiga soalan kepada pengurusan DNB, antaranya mengapa tiada golongan Bumiputera dalam tiga jawatan tertinggi DNB serta bagaimana syarikat tempatan akan dibabitkan dalam pelaksanaan 5G memandangkan ia sudah dimonopoli Ericsson.

"Rakyat juga bertanya kenapa Ericsson dipilih. Ini kerana dua pemimpin tertinggi DNB adalah daripada Maxis. Maxis pula kerap bekerjasama dengan Ericsson.

"Bila DNB buka tender, Ericsson juga yang dipilih. Proses tender dikatakan telus, tapi saya dapat aduan ia tidak telus. Perkara ini perlu penjelasan kerana membabitkan kos RM20 bilion, dan rakyat perlu mendapat perkhidmatan 5G ini," katanya.

Berita Harian X