Rabu, 15 Disember 2021 | 2:58pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Air Negara 2021, hari ini. - Foto ihsan MAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Air Negara 2021, hari ini. - Foto ihsan MAN

Mesyuarat ketiga Majlis Air Negara setuju tiga pertimbangan

KUALA LUMPUR: Majlis Air Negara (MAN) bersetuju dalam aspek pewartaan perizaban tanah kerajaan untuk pengekalan kolam takungan banjir dan rizab sungai bagi menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pewartaan itu antara tiga kertas pertimbangan yang dipersetujui melalui mesyuarat ketiga MAN 2021, hari ini.

Beliau berkata, MAN turut bersetuju melaksanakan kerjasama mengenai inisiatif air pulih guna di antara Indah Water Konsortium Sdn Bhd dengan syarikat operator air negeri.

Selain itu katanya, persetujuan turut dicapai bagi melaksanakan aras lindung selamat bagi reka bentuk infrastruktur pantai akibat kesan perubahan iklim dan kenaikan aras laut.

"Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam

takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar.

"Ini kerana kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat di mana gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir," katanya melalui kenyataan, di sini.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri secara maya antaranya turut dihadiri menteri Persekutuan, menteri besar, ketua menteri dan ketua setiausaha negara.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, inisiatif air pulih guna adalah bagi mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep ekonomi kitaran dalam menguruskan sumber air negara.

Beliau berkata, penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air.

"MAN juga mengambil maklum dua kertas makluman iaitu pembahagian tanggungjawab antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain terhadap sistem saliran dan garis panduan pembinaan telaga tiub untuk tujuan eksplorasi, pemantauan dan pengeluaran dalam penggunaan sumber air bawah tanah," katanya.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan aras lindung selamat, tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan.

Katanya, ia adalah supaya aras lindung pantai mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara.

"Selain itu, mesyuarat turut menekankan negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

"Mesyuarat menyarankan tindakan yang mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata, agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga RMK-15 akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

Berita Harian X