Selasa, 14 Disember 2021 | 9:15pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Lebih baik tidak benarkan pelajar bawa telefon bimbit'

IPOH: Ibu bapa menggesa supaya pihak pengurusan sekolah berasrama penuh memperketatkan penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajarnya bagi membendung masalah sosial dan gejala buli dalam kalangan pelajar.

Ibu kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini, Hamimah Hamid, 44, berkata, pihak pengurusan sekolah berasrama penuh disarankan mengenakan tindakan tegas dengan tidak memberi kebenaran sebarang bentuk telefon bimbit dibawa ke sekolah.

"Pelajar ini apabila dibenarkan membawa telefon bimbit canggih ke sekolah boleh membuatkan mereka terlebih bangga dan menimbulkan salah guna.

"Guru beri bawa untuk kegunaan mencari bahan pembelajaran tetapi kebanyakan mereka ini mungkin akan lebih kepada bermain Tik Tok, Instagram dan pelbagai lagi termasuk memberi kemudahan menonton bahan terlarang di media sosial," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hamimah berkata, pihak pengurusan di sekolah anaknya memberi kebenaran untuk pelajar menengah rendah membawa telefon bimbit jenis biasa yang tidak mempunyai talian internet, manakala menengah atas dibenarkan membawa 'smartphone'.

"Tidak kira sama ada telefon biasa atau telefon canggih tidak sepatutnya dibenarkan di bawa ke sekolah terutama sekali yang berasrama.

"Malah, ini boleh menimbulkan situasi 'sharing is caring' (berkongsi) antara pelajar untuk melihat video lucah dan sebagainya dan akhirnya juga boleh menimbulkan pelagai masalah lain termasuk buli," katanya sambil memaklumkan kebenaran pelajar membawa telefon pintar bergantung kepada setiap pengurusan MRSM.

Justeru, katanya, pihak pengurusan dicadangkan untuk memperbanyakkan komputer di pusat sumber supaya pelajar tidak perlu membawa telefon bimbit ke sekolah.

"Sepatutnya tidak boleh bawa telefon bimbit tetapi oleh kerana terdapat kalangan ibu bapa menyuarakan anak mereka sukar untuk mencari bahan dengan segera.

"Ini kerana selama ini pelajar memberi alasan membawa telefon pintar kerana apabila mereka mahu mencari bahan di internet, jadi dalam isu ini pihak sekolah perlu melengkapkan kemudahan terutama komputer," katanya.

Katanya, susulan daripada insiden itu sebagai ibu yang juga mempunyai anak yang melanjutkan pengajian di MRSM sudah tentu bertambah gusar.

"Sudah tentu risau dan takut, ini kerana memikirkan pelajar yang baru berusia 13 tahun sudah melihat video lucah dan terjadi pula insiden buli.

"Mereka pelajar lelaki dan perempuan meskipun di asingkan di asrama, tetapi di dalam kelas bercampur, takut anak terdedah dengan budaya sosial tidak baik itu yang membimbangkan ibu bapa," katanya.

Bapa pelajar, Zurul Na'im Zainolrashid, 43, pula bersetuju membenarkan pelajar membawa telefon pintar ke sekolah namun dengan kawalan yang ketat daripada pihak sekolah.

"Saya bersetuju anak-anak diberi kebenaran membawa telefon pintar ke sekolah tetapi dengan syarat di kawal oleh pihak sekolah.

"Iaitu dengan kebenaran memegang telefon pintar itu dihadkan pada waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan Prep sahaja, selain daripada itu tidak dibenarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kebenaran membawa telefon pintar itu juga memberi kemudahan tambahan guru dan pelajar juga sebelum ini sudah selesa dengan pembelajaran menerusi telefon pintar.

''Sebelum ini tidak dibenarkan oleh pihak sekolah tetapi sewaktu PdPR sebelum ini guru bersama murid sudah selesa mengikuti sesi pengajian menggunakan telefon pintar.

''Jadi, untuk mengurangkan penyalahgunaan itu mungkin pihak sekolah perlu adakan sekatan waktu terhad untuk penggunaan telefon pintar itu,'' katanya.

Beliau yang mempunyai anak yang belajar di Tingkatan Satu di MRSM di negeri ini mengakui turut bimbang dengan isu buli yang berlaku membabitkan pusat pengajian berkenaan namun menyerahkan sepenuhnya dengan pihak sekolah untuk menyelesaikannya sekiranya berlaku sebarang masalah di kalangan pelajar.

''Kerisauan itu memang ada, mana-mana ibu bapa pun akan risau akan mengambil tindakan sekiranya anak mereka dibuli.

''Jika berlaku pada anak saya, saya juga saya akan mengambil tindakan undang-undang, bukan untuk menganiaya pihak sekolah tetapi kita mahu memberitahu kepada masyarakat bahawa kita tidak berkompromi perkara berkaitan buli ini,'' katanya.

Seorang lagi bapa pelajar Tingkatan 2 dari sebuah MRSM, Mohd UmzarulFaiz Umar, 43, juga turut bersetuju untuk membenarkan anak membawa telefon pintar ke sekolah namun akur dengan atas segala arahan pihak sekolah berhubung perkara itu.

''Bawa telefon pintar ke sekolah ini ada baik dan buruk... saya bersetuju kerana bagus untuk pelajar ulang kaji, keburukannya pula ada pelajar yang salah guna untuk melihat benda terlarang dan sebagainya.

''Sekarang ini ada pelbagai aplikasi, jadi saya memberi cadangan kepada ibu dan bapa untuk install (memuatnaik) apps yang boleh mengawal penggunaan kandungan dalam telefon bimbit anak mereka,'' katanya.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan polis mendapati punca kejadian buli di sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, baru-baru ini, akibat tindakan mangsa menasihati seorang daripada suspek untuk berhenti menonton video lucah.

Berita Harian X