Selasa, 14 Disember 2021 | 8:45pm
Foto hiasan
Foto hiasan

KPM disaran tambah baik kurikulum pendidikan agama, moral

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menambah baik kurikulum pendidikan agama dan moral di sekolah termasuk aspek amalan atau praktikal supaya lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kurikulum sedia ada yang digunakan di sekolah dilihat kurang berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar hingga gejala buli masih berlaku dalam kalangan pelajar.

"Memang isu pelajar senior membuli junior di sekolah berasrama penuh ini muncul dari semasa ke semasa dan tidak syak lagi ini berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab kesopanan dalam kalangan sebahagian pelajar.

"Sehubungan itu, semua pihak terutama KPM perlu mencari jalan penyelesaian segera dan paling penting ialah menambah baik kurikulum pendidikan agama serta moral yang digunakan di sekolah-sekolah kebangsaan dalam pembentukan sahsiah para pelajar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular video mengenai kejadian buli membabitkan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar dan susulan kejadian itu Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bertindak menamatkan pengajian 10 pelajar dikenal pasti terbabit dalam kes buli itu.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dilaporkan berkata, mesyuarat JDM sudah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, semua pihak tidak seharusnya memandang remeh kepada pendidikan agama dan moral kerana jika diselidiki secara jujur akan terbukti bahawa gejala buli adalah berpunca daripada kekeringan nilai akhlak dan adab pelajar.

Katanya, mungkin ibu bapa juga patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah.

"Bagaimanapun, tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak dalam isu buli itu kerana tanggungjawab dalam pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat dan termasuk juga pihak media," katanya.

Beliau berkata, penyelia asrama juga hendaklah dilantik daripada mereka yang berakhlak mulia dan terlatih dalam kemahiran kaunseling supaya dapat menjadi contoh serta memainkan peranan membimbing pelajar dalam menghayati nilai-nilai moral terpuji dalam kehidupan dan pergaulan. – BERNAMA

Berita Harian X