Selasa, 14 Disember 2021 | 7:25pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah), bersama Pengerusi Cagamas Berhad Datuk Bakarudin Ishak (kiri) dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong, pada pelancaran Skim Saraan Bercagar hari ini. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah), bersama Pengerusi Cagamas Berhad Datuk Bakarudin Ishak (kiri) dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong, pada pelancaran Skim Saraan Bercagar hari ini. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

MOF akan gubal dasar mantapkan kehidupan warga emas

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan akan menggubal dasar dan pembaharuan struktur yang bersesuaian untuk memastikan warga emas dapat berdikari dan untuk membangunkan masyarakat yang lebih terangkum.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dengan lebih ramai rakyat Malaysia bersara pada masa depan, kepentingan dan sumbangan pesara kepada ekonomi yang lebih produktif perlu diperakui.

Justeru, beliau berkata, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sudah diaktifkan semula dan kini aktif menganalisis pelbagai pilihan bagi menggubal dasar kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu.

"Kita mesti sedar bahawa warga emas dan sihat juga boleh mengambil bahagian dan menyumbang kepada pertumbuhan negara yang mampan dan produktif.

"Bagi tujuan ini, Skim Saraan Bercagar (SSB) adalah sebahagian daripada usaha luas kerajaan menyediakan pelan persaraan teguh yang membolehkan golongan ini terus menjalani kehidupan yang produktif," katanya pada pelancaran skim SBB oleh Cagamas Bhd hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Cagamas, Datuk Bakarudin Ishak, Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSPP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Tengku Zafrul berkata, bagi mengukuhkan lagi usaha kerajaan dalam menyokong inisiatif sektor swasta seperti pelancaran skim SSB itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas dokumen transaksi yang dilaksanakan oleh pihak yang terbabit bagi mengurangkan beban kewangan kepada pemohon yang berpotensi.

Beliau berkata, pengecualian itu sah laku bagi tempoh dua tahun pertama selepas pelancaran skim itu, yang mana akan membantu mengurangkan kos bagi pesara Malaysia.

"Pengenalan SSB adalah tepat pada masanya, terutamanya bagi mereka yang mana pendapatan dan simpanan mereka terjejas akibat pandemik.

"Sememangnya, produk ini boleh berfungsi sebagai talian hayat kewangan untuk membantu mereka mengekalkan kehidupan sepanjang baki hayat mereka," katanya.

Berita Harian X