Selasa, 14 Disember 2021 | 6:49pm

Melancong elak terperap di rumah

KUALA LUMPUR: Majoriti daripada 1,005 orang responden bagi Kaji Selidik Pelancongan Domestik Di Langkawi dilaksanakan Tourism Malaysia mengakui keluar melancong hanya untuk mengelak daripada terperap di rumah.

Mereka juga memberitahu, sepanjang percutian di pusat peranginan itu, kebanyakannya lebih gemar menghabiskan masa untuk bersantai di tempat penginapan.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, kaji selidik yang dibuat sejajar dengan pembukaan semula Langkawi kepada pelancong domestik bermula 16 September itu mendapati majoriti responden berpuas hati dan mempunyai tahap keyakinan tinggi untuk melancong susulan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19.

"Projek rintis Gelembung Perjalanan Domestik Langkawi dianggap berjaya hasil Kaji Selidik Pelancongan Domestik oleh Bahagian Perancangan Strategik, Tourism Malaysia di pulau peranginan negara itu dari 30 September hingga 6 Oktober 2021.

"Keperluan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta syarat lengkap divaksinasi telah meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap perjalanan yang selamat dan terjamin.

"Selain itu, harga menarik yang ditawarkan oleh pengendali pelancongan, syarikat penerbangan dan penginapan juga boleh mempengaruhi pelawat domestik untuk melancong," katanya.

Kenyataan sama turut memberitahu, responden juga berminat untuk kembali melancong di dalam negara dengan destinasi di kawasan pulau sebagai pilihan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Tambahnya, kaji selidik itu turut bertujuan mengkaji tahap kepuasan sepanjang perjalanan, kualiti perkhidmatan penginapan, pengendali pelancongan dan syarikat penerbangan.

Selain itu, ia turut bermatlamat mengetahui tahap keyakinan masyarakat terhadap aspek berkaitan COVID-19 iaitu kesihatan dan keselamatan.

Katanya, laporan lengkap berkenaan kaji selidik itu boleh diakses menerusi pautan http://mytourismdata.tourism.gov.my/

Berita Harian X