Selasa, 14 Disember 2021 | 5:13pm
Gambar hiasan. Rumah Teres.
Gambar hiasan. Rumah Teres.

Skim bantu warga emas biaya persaraan

PETALING JAYA: Cagamas Bhd memperkenalkan penyelesaian pembiayaan pertama di pasaran untuk pesara dikenali Skim Saraan Bercagar (SSB) dengan dana permulaan RM100 juta untuk membantu warga emas menyara persaraan masing-masing.

Penyelesaian itu membolehkan pesara berumur 55 tahun dan ke atas untuk mencagarkan rumah kediaman mereka bagi mendapat pendapatan bulanan secara tetap sepanjang hayat.

Sebagai permulaan, skim SSB akan mula ditawarkan sebagai skim perintis di Lembah Klang dan permohonannya disasarkan dibuka pada pertengahan Januari 2022.

Peruntukan dana sebanyak RM100 juta bagi peringkat rintis itu akan ditambah sekiranya SSB mendapat sambutan baik.

Pengerusi Cagamas, Datuk Bakarudin Ishak, berkata SSB adalah satu produk pembiayaan, yang mana pemilik rumah yang layak boleh mencagarkan rumah kediaman mereka bagi mendapat pendapatan bulanan secara tetap sepanjang hayat, yakni, ia tidak mempunyai tempoh matang.

Beliau berkata, sebagai contoh, sekiranya rumah kediaman dimiliki secara persendirian atau bersama, pendapatan tetap secara bulanan akan terus dibayar kepada mereka sehingga akhir tempoh hayat pemilik yang terkemudian.

Katanya, apa yang penting, pemilik masih boleh terus tinggal di kediaman untuk sedemikian tempoh.

Bila berlaku kematian, jelasnya, Cagamas akan menjual rumah yang dicagarkan untuk melunaskan jumlah kumulatif pinjaman yang telah diambil pemilik berkenaan.

"Sekiranya terdapat sebarang lebihan dari penjualan, Cagamas akan memulangkan lebihan hasil jualan kepada pewaris layak.

"Sebaliknya, jika hasil penjualan kurang daripada jumlah kumulatif pinjaman yang telah diambil, ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Cagamas," katanya pada pelancaran skim SSB di sini, hari ini.

Pelancaran skim itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bakarudin berkata, pelancaran SSB adalah usaha Cagamas untuk menangani jurang sedia ada di dalam pasaran berikutan keperluan warga emas yang terkesan situasi kekurangan simpanan dan sumber pendapatan di umur persaraan.

Beliau berkata, dalam merangka SSB, pihaknya telah mengambil kira pengalaman dan pengajaran dari Korea Selatan dan Hong Kong yang memperkenalkan produk itu bagi membantu pesara mencairkan nilai aset tersimpan seperti rumah dengan cara yang selamat dan diyakini.

Katanya, Cagamas menjangkakan SSB boleh menjadi satu produk kewangan alternatif yang berdaya saing bagi mencairkan nilai aset tersimpan seperti rumah dan menjadikannya kepada suatu aliran tunai bulanan tetap.

"Bagi melengkapi rantaian nilai pembangunan SSB, Cagamas juga mengambil pendekatan kolaboratif dengan rakan strategiknya untuk memastikan ketersediaan SSB adalah bertetapan dan bersesuaian dengan keperluan yang menyeluruh.

"Kerjasama baik antara Cagamas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membolehkan masing-masing memainkan peranan dengan lebih berkesan berdasarkan kelebihan keupayaan dan kepakaran masing-masing dalam menuju satu matlamat bersama iaitu meningkatkan akses pembiayaan kepada golongan itu.

"Kebokehcapaian rangkaian pejabat KWSP dan AKPK di seluruh negara memudahkan pemohon berminat untuk mendapat nasihat dan pemahaman yang sewajarnya mengenai produk SSB," katanya.

Berita Harian X