Isnin, 13 Disember 2021 | 4:28pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kerajaan digesa terus pantau kenaikan harga bahan binaan

KUALA LUMPUR: Tujuh persatuan mewakili pemain industri pembinaan dan kontraktor mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan dalam menangani peningkatan harga bahan mentah di sektor itu yang semakin kritikal hari ini.

Mereka terdiri daripada Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) serta Persatuan Kontraktor Bumiputra Wibawa (GBC Wibawa), Persatuan Kontraktor Malaysia Bersatu (UMCA) dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).

Menerusi kenyataan media bersama, empat cadangan itu ialah kerajaan perlu melaksanakan pemantauan berterusan serta penguatkuasaan yang perlu bagi memastikan tiada pencatutan serta anti-persaingan dalam keseluruhan rantaian bekalan industri.

Cadangan kedua ialah mempercepatkan kemasukan pekerja asing bagi mengurangkan kekurangan dalam industri, ketiga pula klausa perubahan harga (VOP) pada kontrak untuk projek kerajaan perlu dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya 12 bulan lagi, ekoran jangkaan turun naik harga akan berlanjutan lebih 31 Disember ini.

"Seterusnya, cadangan keempat adalah bagi projek swasta iaitu menggalakan kerajaan untuk memperkenalkan VOP dalam kontrak mereka," katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Tujuh persatuan itu turut berkata, mereka memperakui bahan binaan dalam negara hari semakin meningkat ketika ini dan ia memberi kesan kepada banyak perniagaan.

"Berlaku kenaikan kos pembinaan yang dikesan meningkat antara 13 peratus ke 20 peratus malah beberapa bahan juga mengalami peningkatan drastik termasuklah harga keluli lembut yang meningkat sehingga 41 peratus dan pasir, sehingga 20 peratus sejak Oktober lalu.

"Situasi ini turut mengakibatkan margin keuntungan syarikat berkurangan serta menekan banyak perniagaan," katanya.

Mengulas lanjut, mereka berkata, berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama yang mempengaruhi kenaikan harga ialah disebabkan oleh lonjakan dalam kos bahan mentah dan kekurangan pekerja asing yang membimbangkan di negara ini.

"Selain itu, peningkatan dalam kos logistik, aliran menaik harga minyak mentah serta kenaikan kos tenaga.

"Kami bimbang jika isu ini tidak diberi perhatian segera, industri akan lebih menderita dan seterusnya akan memberi kesan buruk kepada sektor kita dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah segera perlu dilakukan untuk mengatasi isu yang sangat mendesak itu dan sekiranya ia dibiarkan berlangsung, maka ia boleh mengakibatkan kepada kerugian serta masalah aliran tunai.

"Pemaju mungkin tiada pilihan selain menyalurkan kos tambahan itu pada harga rumah yang akan meningkat.

"Akhirnya itu membebankan rakyat dan kontraktor yang tidak mampu menyerap kos tambahan mungkin terpaksa mengambil jalan keluar dengan menghentikan kerja-kerja mereka," katanya.

Merujuk perkara itu, kenyataan itu menyebut, berdasar data oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Perangkaan, projek membabitkan sektor swasta adalah merangkumi 65 peratus dari jumlah keseluruhan projek yang diberikan sehingga Oktober tahun ini.

"Dengan jumlah yang begitu besar dilaksanakan oleh sektor swasta, adalah penting ia diberikan kepada sektor lain seperti sektor pembinaan. Jika tidak, usaha ke arah pemulihan ekonomi akan tergelincir," katanya.

Berita Harian X