Isnin, 13 Disember 2021 | 3:57pm
FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

Hukuman denda, penjara bagi pesalah teknologi penstriman

KUALA LUMPUR: Denda hingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun bagi mereka yang melakukan kesalahan berkaitan teknologi penstriman, merupakan antara subseksyen baharu dalam Rang Undang-Undang (RUU) Hak Cipta (Pindaan) 2021 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu meliputi seseorang yang melakukan atau memudahkan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya, antaranya dengan membuat suatu teknologi penstriman termasuk untuk dijual atau disewakan serta mengimport suatu teknologi penstriman.

Individu yang melanggar subseksyen itu boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

RUU bagi meminda Akta Hak Cipta 1987 itu dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

Beliau turut membentangkan dua lagi RUU bagi bacaan kali pertama bawah kementeriannya, iaitu RUU Petunjuk Geografi 2021 dan RUU Paten (Pindaan) 2021.

RUU Petunjuk Geografi 2021 digubal bagi perlindungan serta pendaftaran petunjuk geografi berhubung barang dan untuk melaksanakan triti berkaitan serta bagi perkara yang berhubung dengannya.

Petunjuk geografi (GI) adalah tanda digunakan pada produk yang mempunyai asal geografi tertentu dan memiliki sifat atau reputasi disebabkan oleh asal itu.

RUU itu antara lain membolehkan pemilik memohon untuk mendaftarkan suatu GI bagi apa-apa barang dalam bentuk sebagaimana ditentukan oleh pendaftar bersama dengan pembayaran yuran yang ditetapkan.

RUU Paten (Pindaan) 2021 pula dibentangkan antaranya bagi membolehkan keluaran proses mikrobiologi dijadikan reka cipta yang dapat dipatenkan.

Ia juga membolehkan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri mempunyai hak mempatenkan reka cipta mereka. – BERNAMA

Berita Harian X