Isnin, 13 Disember 2021 | 11:46am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

3,643 orang hilang pekerjaan di Perak

IPOH: Seramai 3,643 orang hilang pekerjaan di Perak sejak Mac 2020 sehingga bulan lalu, akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, statistik itu direkodkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Beliau berkata, ia dipengaruhi oleh faktor penutupan beberapa sektor seperti perkilangan, perkhidmatan dan perhotelan akibat penularan virus itu.

"Kerajaan negeri melalui PERKESO melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan seperti elaun mencari pekerjaan (EMP) bagi tempoh tiga hingga enam bulan tertakluk syarat kelayakan caruman.

"Jumlah EMP yang dibayar adalah berdasarkan gaji bulanan anggapan pada kadar 80 peratus bagi bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua, 40 peratus bagi bulan ketiga dan keempat serta

30 peratus bagi bulan kelima dan keenam," katanya menjawab soalan A Sivanesan (DAP-Sungkai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Katanya, selain itu, Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) iaitu elaun dibayar kepada orang berinsurans yang kembali bekerja semula dengan kadar bayarannya sebanyak 25 peratus daripada baki EMP dan dibayar secara pukal.

"Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) pula disediakan kepada orang berinsurans yang bekerja dengan lebih daripada satu majikan dan kehilangan pekerjaan daripada satu majikan berkenaan. Kadar dan tempoh bayaran adalah sama dengan EMP.

"Program Penjana Kerjaya 3.0 di bawah PEMULIH iaitu insentif kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja berusia 40 tahun keatas, OKU, lepasan sekolah dan graduan selain perluasan insentif pengambilan pekerja di bawah Program Kerjaya Gig," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepada PERKESO untuk melaksanakan JaminKerja iaitu Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan yang dijangka akan memanfaatkan 300,000 pencari kerja dari seluruh negara.

"Menerusi JKIP, para majikan yang menggajikan individu yang tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya.

"Bagi golongan rentan pula, majikan layak menerima insentif sebanyak 30 peratus untuk enam bulan pertama, sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi enam bulan berikutnya.

"Kadar insentif yang sama turut akan dipanjangkan bagi pengambilan pekerja golongan wanita yang telah menganggur melebihi tempoh setahun, ibu tunggal dan suri rumah," katanya.

Berita Harian X