Ahad, 12 Disember 2021 | 8:59pm
Masalah buli yang masih berlaku di pelbagai institusi pendidikan. - Foto hiasan
Masalah buli yang masih berlaku di pelbagai institusi pendidikan. - Foto hiasan

Anggap buli 'tradisi' di asrama antara punca gejala

KUALA LUMPUR: Masalah buli yang masih berlaku di pelbagai institusi pendidikan, berpunca daripada beberapa faktor, termasuk tanggapan bahawa ia adalah sebahagian daripada 'tradisi' pelajar khususnya di institusi berasrama.

Faktor lain didakwa turut menyumbang kepada gejala itu ialah pihak pengurusan institusi terbabit cuba melindungi reputasi mereka dan campur tangan atau pengaruh 'golongan kayangan'.

Penasihat undang-undang Mahkamah Juvana Kajang, Mohd Yunus Mohd Ali, berkata kes buli sudah berlaku sejak sekian lama, namun ia semakin terserlah dan mendapat liputan meluas berikutan kemajuan media sosial.

Sejak kebelakangan ini, katanya, insiden buli khususnya di institusi pendidikan rendah, menengah dan tinggi menjadi semakin membimbangkan atas pelbagai sebab.

"Kalau dulu guru panggil ibu bapa, sah anak mereka akan kena 'sekolah' lagi bila sampai di rumah, tetapi sekarang situasi sudah berbeza.

"Ada ibu bapa akan melawan guru dan cuba mengambil tindakan undang-undang, malah lebih membimbangkan apabila menganggap anak mereka sentiasa di pihak yang betul.

"Faktor penyumbang lain yang menjadikan buli seakan perkara biasa, khususnya di institusi berasrama ialah ia dianggap sebagai 'tradisi' pelajar dan semua perlu melaluinya.

"Ada pula pihak institusi yang ingin memelihara reputasi sehingga sanggup tutup kes, tanpa sedar ia mengundang keadaan lebih teruk kelak," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yunus berkata, keputusan menukar pelajar yang terbabit dengan kes buli, penderaan dan pelbagai jenayah kecil, ke institusi pendidikan lain juga tidak menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, beliau berkata, percaturan sedemikian sekadar menyebabkan 'barah' masalah disiplin pelajar merebak ke institusi pendidikan lain.

"Selain itu, guru atau pengurusan institusi pendidikan yang merahsiakan kes buli atau jenayah lain, perlu diambil tindakan kerana jika dibiarkan, ia bakal mengundang kesan lebih besar," katanya.

Berita Harian X