Ahad, 12 Disember 2021 | 6:16pm

100,000 pengunjung Program Aspirasi Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berakhir hari ini, mencatat sambutan luar biasa apabila merekodkan lebih 100,000 pengunjung, dalam tempoh empat hari berlangsung.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata program itu berjaya menarik sejumlah 103,000 pengunjung sejak bermula Khamis lalu.

Beliau berkata, jumlah itu peningkatan sekitar 400 peratus berbanding jangkaan asal yang sekadar menganggarkan kehadiran sejumlah 20,000 pengunjung dalam tempoh empat hari program berkenaan berlangsung.

"Mengikut jangkaan asal, kita menganggarkan kehadiran pengunjung sekitar 4,000 hingga 5,000 sehari, berdasarkan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Tapi, sambutan yang kita terima di luar dugaan, hingga kita perlu membuat beberapa pindaan bagi perkara tertentu.

"Antaranya, penutupan kaunter diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengelakkan kehadiran yang begitu ramai hingga kita tidak mampu mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN.

"Ini membuktikan program ini mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai," katanya ketika berucap pada Majlis Rumusan, Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah Perdana 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Seri Dr Yusof Ismail.

Mohd Zuki berkata, kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan antara tarikan utama pengunjung ke program itu, sepertu perkhidmatan insolvensi, permohonan skim kredit, kaunseling kewangan, sesi bimbingan dan khidmat nasihat usahawan serta pemberian insentif.

Katanya, sejumlah 31 reruai terdiri daripada 26 reruai kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri disediakan.

"Selain itu, 102 jualan gerai usahawan termasuk aktiviti seperti pameran Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Diskaun Saman PDRM dan JPJ, Sukan Rakyat dan pertandingan e-sukan atau e-Sport," katanya.

Mohd Zuki berkata, daripada 24,136 jawatan daripada 75 majikan ditawarkan di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, seramai 3,628 peserta daripada 4,005 orang peserta berdaftar dipanggil menghadiri temu duga.

Daripada jumlah itu, katanya, lebih 2,690 individu berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dimohon.

"Program Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia pula memberi peluang kepada pengunjung terutamanya lebih 5,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat, tawaran secara langsung memasuki program asasi, politeknik, kolej komuniti," katanya.

Pengunjung membuat semakan saman di kiosk JPJ Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengunjung membuat semakan saman di kiosk JPJ Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Berita Harian X