Ahad, 12 Disember 2021 | 1:04pm
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang. - NSTP/ARKIB
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang. - NSTP/ARKIB

JPA perlu segera wujud jawatan warden sekolah berasrama - NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan secara serius perjawatan warden asrama bagi sekolah berasrama penuh (SBP) dan asrama harian untuk menangani masalah yang sering timbul, termasuk kes buli.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata jawatan baharu seperti warden sepenuh masa di sekolah asrama yang dicadangkan kesatuan itu bukan terhad di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), tetapi di bawah bidang kuasa JPA.

"Justeru, besar harapan NUTP agar pihak JPA dapat memberikan pertimbangan serius untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa ini," katanya.

Beliau menegaskan, jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama adalah perjuangan sekian lama oleh NUTP kerana guru yang menyandang tugas berkenaan terpaksa menjalankan tugas hakiki mengajar di sekolah dan pada masa sama menunaikan tanggungjawab menjaga dan mengawasi murid asrama sepanjang waktu.

"Dengan kadar elaun hanya RM240, guru merangkap warden itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa saja kejadian yang berlaku ke atas murid asrama tanpa mengira masa. Disebabkan bebanan tugas itu, NUTP mendesak sejak dulu supaya jawatan warden asrama sepenuh masa diwujudkan dan sangat wajar disegerakan.

"Permasalahan ini juga sudah ada dalam pengetahuan dan makluman pihak KPM dan MARA kerana NUTP sudah berkali-kali membangkitkan isu ini," katanya.

Beliau mengulas kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Setakat awal malam tadi, polis menahan 10 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun sebelum enam daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis, manakala yang lain akan dibebaskan selepas siasatan selesai.

Siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan awal polis mendapati kejadian buli terbabit berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember lalu, membabitkan mangsa dengan tujuh suspek yang semuanya juga pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Berita Harian X