Ahad, 12 Disember 2021 | 12:12pm
Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin

Zuraida sedia timbang tawaran ketuai Parti Bangsa Malaysia

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin bersedia mempertimbangkan pelawaan untuk mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU itu, bagaimanapun menjelaskan pada masa ini beliau belum menerima sebarang jemputan daripada parti berkenaan.

"Saya tak ada terima tawaran apa-apa lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, insya-Allah. Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak," katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Kluster Koko Sarawak, di sini hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan penukaran nama SWP kepada PBM dan perlembagaan baharunya.

PBM mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 November dan barisan kepemimpinan baharu juga dilantik. Pada masa ini, Presiden PBM ialah Mohamad Sukri Yusri, manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sebagai Timbalan Presiden.

Larry bekas Pengerusi PKR Sarawak dan bekas Presiden SWP yang diasaskan oleh bapanya, ahli politik veteran Sarawak, Datuk Sng Chee Hua bersama sekumpulan bekas ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada 2012.

Jawatan Naib Presiden Kanan diisi Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, manakala Engga Unchat dan Lavenia Mawas dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi. Sebelum ini, nama Zuraida disebut-sebut akan dilantik sebagai Presiden PBM kerana mempunyai sokongan akar umbi kuat terutama sewaktu bersama PKR.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau menyokong penuh keputusan Naib Pengerusi BERSATU Sarawak, Datuk Ali Biju yang menarik diri sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Katanya, walaupun nama Ali tetap tercatat pada kertas undi, beliau berharap penyokong Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu akan mengundi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

"Dalam setiap pilihan raya, kita pulangkan kepada rakyat untuk memilih, terpulang kepada mereka siapa nak dipilih dan kita tidak boleh paksa. Namun saya harap mereka akan fokus undi kepada calon GPS, Friday Belik sebagaimana yang disaran Ali," katanya.

Berita Harian X