Sabtu, 11 Disember 2021 | 6:36pm
Setiausaha Agung, Wang Heng Suan.
Setiausaha Agung, Wang Heng Suan.

NUTP sokong pelantikan warden luar di asrama

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) sudah melengkapkan kertas kerja mengenai keperluan pelantikan warden luaran bukan daripada kalangan guru di asrama dan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dua tahun lalu.

Setiausaha Agung, Wang Heng Suan, berkata NUTP sememangnya menyokong pelantikan warden luar untuk mengurus, menjaga kebajikan serta keselamatan pelajar-pelajar di asrama atas beberapa faktor.

Antara faktor berkenaan adalah mampu mendisiplinkan pelajar termasuk mengekang kes buli dan mengelakkan keletihan dalam kalangan guru yang dilantik menjadi warden.

"Setahu saya, kita sudah membuat kertas kerja berkenaan sejak lebih dua tahun lalu kerana merasakan warden luar lebih sesuai diupah di asrama bagi menjaga pelajar berbanding guru sekolah berkenaan.

"Ini boleh mengelakkan bebanan tugas kepada guru yang dilantik kerana dia terpaksa menjaga 24 jam pelajar asrama berkenaan dan sudah tentu dilanda keletihan kerana tanggungjawab mengajar pula pada siang hari," katanya kepada BH.

Beliau berkata, guru menjadi warden juga mendapat bayaran elaun yang terlalu kecil dan tidak setimpal dengan bebanan tugas yang terpaksa dilalui.

"Tugas seorang warden ini tidak berakhir di sekolah sebaliknya apabila di rumah dia perlu mengetahui keadaan pelajar di asrama. Jika bermasalah atau sakit, dia perlu menguruskannya.

"Elaun pula kecil, sepatutnya bila kerja lebih banyak, lebih banyaklah dibayar. Dia terpaksa duduk di kuarters guru kerana perlu berkhidmat sepenuh masa dan elaun perumahan akan dipotong," katanya.

Ditanya adakah kes buli mampu dielakkan dengan melantik warden luar, Heng Suan amat positif perkara itu mampu dilakukan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Mohd Ariffin Ab Rahman, berkata perjawatan khas warden asrama daripada pesara polis atau tentera perlu menitik beratkan elemen mendidik serta penguatkuasaan.

Katanya, mungkin daripada segi penguatkuasaan pesara polis dan tentera sedia ada dalam diri mereka namun elemen mendidik juga penting untuk menjadi seorang warden asrama.

"Sesiapa pun yang dilantik menjadi warden asrama bukan sahaja perlu berdepan dengan masalah disiplin pelajar tetapi kita melihat adakah dia boleh mendidik pelajar asrama dalam pelbagai aspek.

"Sememangnya cadangan perjawatan khas ini sudah banyak kali kita minta dipertimbangkan bagi mengelakkan berlakunya masalah disiplin terutama buli dalam kalangan pelajar di asrama sekolah masing-masing," katanya.

Berita Harian X