Sabtu, 11 Disember 2021 | 6:03pm
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan. - Foto ihsan FB Mohd Azizee
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan. - Foto ihsan FB Mohd Azizee

Syor wujud jawatan warden khas pantau kes buli - i-Guru

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mewujudkan perjawatan warden khas di sekolah atau asrama, selain nisbah warden kepada bilangan pelajar dikecilkan iaitu satu warden untuk 50 pelajar.

Langkah itu antara lain bertujuan membendung kegiatan buli di sekolah dan asrama yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata sudah tiba masanya KPM melihat secara keseluruhan punca atau faktor insiden buli yang berlaku di sekolah atau asrama.

Katanya, langkah pencegahan perlu dan sebagai warganegara, semua pihak terikat dengan akta dan perundangan.

"I-Guru berpendapat sudah tiba masanya perjawatan warden khas diwujudkan dan juga nisbah warden kepada bilangan murid dikecilkan dari sedia ada iaitu satu warden untuk 50 murid," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media, polis Perak sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian kes buli membabitkan pelajar lelaki yang berlaku di sebuah sekolah asrama di Kuala Kangsar.

Mohd Azizee berkata, pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan segera jika terdapat unsur buli dalam kalangan pelajar bagi mengelak tercetusnya kejadian lebih buruk, termasuk kecederaan parah dan kehilangan nyawa.

"Adalah malang jika ada pihak yang mengambil mudah atau menyembunyikan sebarang kes buli.

"Sekolah perlu menjadi tempat yang selamat untuk pelajar menuntut ilmu dan membina modal insan yang cemerlang. Pelajar seharusnya berasakan diri dan emosi mereka selamat apabila berada di sekolah dan asrama.

"Kegiatan buli yang berlaku di sekolah atau institusi pendidikan bukan saja akan mencetuskan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka, malah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi itu," katanya.

Berita Harian X