Sabtu, 11 Disember 2021 | 4:36pm

Program Usahawan Teknologi Retort bakal diperluas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperluas program Usahawan Teknologi Retort di lebih banyak kawasan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu usahawan kecil menjana lebih pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata melalui inisiatif di bawah Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu, usahawan dan suri rumah dapat mempelajari teknologi baharu pembungkusan makanan yang membolehkan makanan yang dimasak untuk jualan tahan lebih lama iaitu sehingga 18 ke 24 bulan.

Beliau berkata, ketika ini, program berasaskan komuniti itu dimulakan di PPR Hiliran Ampang di sini, sejak Oktober lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

"Seramai 105 peserta dalam komuniti PPR Hiliran Ampang serta Koperasi Hiliran Ampang menghadiri Kursus Asas Teknologi Retort Makanan yang diadakan selama tiga minggu bermula 6 Oktober lalu.

"Pada bulan lalu, pihak kementerian mengadakan libat urus dengan peserta bagi produk jualan dan pada bulan ini, mereka memulakan jualan.

"Insya-Allah, kita akan perluaskan ke tempat lain dan apa yang penting, kita mahu pemimpin masyarakat menggerakkan program ini dalam komuniti mereka dan kita di pihak kerajaan akan membantu dari segi ilmu serta peralatan," katanya kepada media selepas merasmikan Projek Rintis Usahawan Retort: FACE di PPR Hiliran Ampang, hari ini.

Mengulas mengenai teknologi retort, Rina berkata, ia adalah kaedah pembungkusan makanan dengan pemprosesan aseptik dan diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel.

"Teknologi ini membasmi mikroorganisma yang terdapat dalam makanan dimasak kerana menggunakan suhu pemanasan sehingga 121 darjah Celsius, sekali gus menjadikan makanan itu terjamin dari segi kebersihan, kesegaran dan sesuai untuk berada di pasaran bagi tujuan dikomersialkan," katanya.

Justeru, beliau berharap, lebih ramai ahli masyarakat terutama golongan wanita mengambil peluang untuk mempelajari dan mengaplikasi teknologi itu untuk produk makanan keluaran mereka.

"Usaha yang berterusan mampu mengubah kehidupan kita. Kementerian saya sentiasa menyokong segala usaha pembangunan ekonomi wanita, keluarga dan peniaga kecil menerusi pelbagai program, antaranya MyKasih Kapital dan Wanita Bangkit Berniaga," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, (tengah) mendengar penerangan daripada peserta, Mohd Hafiz Mohd Tajuddin mengenai proses membuat produk makanan bagi Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) selepas Majlis Pelancaran Projek Rintis Usahawan Teknologi Retort Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) di PPR Hiliran Ampang, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, (tengah) mendengar penerangan daripada peserta, Mohd Hafiz Mohd Tajuddin mengenai proses membuat produk makanan bagi Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) selepas Majlis Pelancaran Projek Rintis Usahawan Teknologi Retort Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) di PPR Hiliran Ampang, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X