Sabtu, 11 Disember 2021 | 2:46pm
Al-Sultan Abdullah dua, kanan) dan Tunku Hajah Azizah (tiga, kanan) berkenan beramah mesra bersama pesakit Normala Awang (kiri) pada Perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah hari ini. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah dua, kanan) dan Tunku Hajah Azizah (tiga, kanan) berkenan beramah mesra bersama pesakit Normala Awang (kiri) pada Perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah hari ini. FOTO BERNAMA

Agong, Permaisuri rasmi Pusat Haemodialisis Yasa

PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli merasmikan Pusat Haemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah di sini, hari ini.

Pusat haemodialisis yang ditubuhkan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu yang pertama di Pahang, dan ketiga setakat ini selepas pembukaan pertama di Cheras pada 7 Ogos 2019, sebelum disusuli di Setiawangsa pada 12 Ogos 2020, dengan kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Turut berangkat pada majlis perasmian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu ialah anakanda Seri Paduka Baginda berdua iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni 12 pesakit sedang melakukan rawatan selain mengurniakan sumbangan kepada mereka, yang masing-masing menjunjung kasih kepada peluang mendapatkan rawatan di sebuah pusat dialisis yang sangat selesa secara percuma.

Sementara itu, Istana Negara menerusi kenyataan media menyatakan Seri Paduka Baginda berdua terdorong menubuhkan pusat haemodialisis itu kerana prihatin dengan pesakit buah pinggang kronik daripada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan bagi meringankan beban kewangan pesakit.

"Seri Paduka Baginda berdua menyeru lebih ramai individu dan pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan haemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, lebih-lebih lagi ketika rakyat masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Seri Paduka Baginda berdua mendoakan pesakit menjalani rawatan haemodialisis, diberikan kekuatan dan kesabaran selain menasihatkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelakkan produk boleh memudaratkan buah pinggang.

Pusat haemodialisis itu dikendalikan anak syarikat milik penuh MUIP Holdings Sdn Bhd, Klinik Al-Amin Sdn Bhd beroperasi jam 7 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Sabtu, dilengkapi dengan 12 mesin dialisis dan berkemampuan mengendalikan lebih 100 pesakit setiap minggu.

Pusat ini juga yang pertama dibangunkan di bangunan wakaf kepada YASA, yang mana Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan penghargaan kepada Pentadbir Harta Pusaka Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah atas sumbangan itu.

Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan, MUIP, agensi kerajaan dan penyumbang seperti MUIP Holdings Sdn Bhd, Yayasan Albukhary, Syarikat Tanah Makmur Berhad, Mazda Medicare Fund di bawah Syarikat Bermaz Auto Berhad dengan usaha sama BBraun Malaysia yang membantu penubuhan pusat haemodialisis berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X