Sabtu, 11 Disember 2021 | 2:36pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga kanan) menanam pokok ketika mengadakan lawatan kerja ke pantai Telok Melano, Sematan hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga kanan) menanam pokok ketika mengadakan lawatan kerja ke pantai Telok Melano, Sematan hari ini. - Foto BERNAMA

MOTAC puas hati Gelembung Pelancongan Langkawi

SEMATAN: Pulau Langkawi di Kedah menerima seramai 204,953 pelancong domestik dari 16 September hingga 30 November dengan jumlah pendapatan pelancongan lebih RM211 juta di bawah inisiatif gelembung pelancongan.

Berpuas hati dengan perkembangan industri pelancongan pulau peranginan terkenal negara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata penggiat pelancongan perlu terus merebut peluang menjana pendapatan susulan terkesan lama akibat pandemik COVID-19.

Beliau meminta pemain industri pelancongan domestik supaya bersedia merebut peluang dengan kedatangan pelancongan antarabangsa yang masih belum ramai akibat keresahan penularan COVID-19 varian baharu Omicron.

Bagaimanapun, katanya, gelembung pelancongan di destinasi terpilih dalam negara tidak dapat memenuhi permintaan sektor pelancongan namun menyasarkan pembukaan sektor pelancongan antarabangsa secara berperingkat apabila sempadan negara dibuka nanti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sukarelawanan Pelancongan (Voluntourism) 'Penghijauan Malaysia' di Pantai Telok Melano di sini hari ini.

Voluntourism adalah aktiviti secara sukarela dalam suasana santai untuk tujuan memelihara dan menjaga alam sekitar bersih dan hijau, terutamanya di tempat bercuti sementara bercuti.

Dalam pada itu, Nancy berkata Pantai Telok Melano di kawasan Tanjong Datu berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat ekopelancongan di Bumi Kenyalang ini.

Nancy yang turut diiringi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 iaitu Azizul Annuar Adenan, mencadangkan calon itu untuk mengadakan festival di kawasan berkenaan bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong seterusnya menjana pendapatan buat penduduk dan negeri.

"Di sini kawasan Teluk Melano merupakan salah satu destinasi pelancongan di bahagian selatan Sarawak iaitu pada titik sifar, penghujung sempadan untuk negeri ini. Jadi sini banyak sejarahnya, produk yang boleh kita ketengahkan seperti kraftangan," katanya.

Meyakini kredibiliti Azizul untuk memenangi kerusi itu, Nancy berkata anak Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem itu memenuhi kriteria seorang wakil rakyat dan menjadi pemimpin GPS di masa depan. – BERNAMA

Berita Harian X