Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:19pm
Saifuddin mengaku terbabit dalam langkah seterusnya penubuhan DNB. FOTO BERNAMA
Saifuddin mengaku terbabit dalam langkah seterusnya penubuhan DNB. FOTO BERNAMA

'Saya terbabit tubuh Digital Nasional Bhd' - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Perundingan mengenai pelaksanaan konsep rangkaian tunggal 5G atau Rangkaian Borong Tunggal (SWN) menerusi Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai pelaksana projek itu dilaksanakan awal tahun ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menjelaskan perkara itu, Saifuddin sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada Februari 2020 hingga Ogos lalu berkata, perbincangan itu membabitkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Kewangan (MoF) diadakan sebelum mesyuarat Kabinet pada 3 Februari.

"KKMM, SKMM dan Kementerian Kewangan berbincang bersama sebelum mesyuarat Kabinet pada 3 Februari lalu yang mana keputusan menubuhkan sebuah syarikat 'Special Purpose Vehicle' (kini dinamakan DNB) dibuat.

"Saya juga terbabit dalam langkah seterusnya dan diberi taklimat oleh DNB dan EY (Ernst & Young Consulting Services Sdn Bhd) mengenai pelan pelaksanaan selanjutnya," katanya menerusi ciapan di Twitter rasmi hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam catatan di media sosial menjelaskan, konsep berkenaan cadangan dikemukakan SKMM dalam Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih, yang diterbitkan pada waktu itu.

Katanya, laporan itu mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G terdiri daripada syarikat telekomunikasi, berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.

Tengku Zafrul berkata, KKMM turut maklum sebuah SPV yang dimiliki sepenuhnya kerajaan, dilantik bagi melaksanakan infrastruktur rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara.

Pada 1 Mac lalu, Tengku Zafrul berkata, MOF mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos, berteraskan penawaran dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum.

Tengku Zafrul mengulas perkara itu sebagai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat kelmarin tiada perundingan antara MOF dan KKMM mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model SWN. – BERNAMA

Berita Harian X