Jumaat, 10 Disember 2021 | 7:03pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Harga ayam di Kelantan makin murah

KOTA BHARU: Harga ayam di Kelantan menunjukkan penurunan kepada antara RM7.50 sehingga RM9 sekilogram sejak tiga hari lalu, berbanding harga sebelum ini mencecah RM10 sekilogram.

Penurunan itu disebabkan lambakan ayam selain harga yang diterima daripada pemborong lebih murah berbanding sebelum ini.

Selain itu, peniaga mendakwa terpaksa menurunkan harga disebabkan jualan ayam merosot berikutan tular sebelum ini harga ayam yang mahal.

Tinjauan di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati, beberapa jenis sayur juga menunjukkan penurunan harga iaitu brokoli yang kini dijual pada harga RM14 sekilogram berbanding RM19 sekilogram sebelum ini, sawi RM14 sekilogram berbanding RM20 sekilogram sebelum ini.

Namun, terdapat juga beberapa jenis sayur yang mengalami kenaikan harga antara RM1 sehingga RM8 sekilogram iaitu lada merah yang dijual RM18 sekilogram berbanding RM10 sekilogram, kubis dari RM3 kepada RM5 sekilogram, timun dari RM4 kepada RM5 sekilogram, kubis bunga dari RM9 kepada RM18 sekilogram, kacang panjang dari RM6 kepada RM8 sekilogram, dan tomato dari RM4 kepada RM5 sekilogram.

Peniaga ayam, Zarina Abdullah, 52, berkata sejak tiga hari lalu harga ayam semakin murah berbanding sebelum ini sehingga mencecah RM10 sekilogram.

"Disebabkan harga ayam yang mahal sebelum ini menyebabkan jualan ayam semakin merosot.

"Malah, kita juga mendapat harga lebih murah daripada pemborong dan berharap jualan kembali pulih dengan penurunan harga ayam," katanya.

Peniaga ayam, Ismail Salleh, 78, yang sudah berniaga sejak 10 tahun lalu mengakui kenaikan harga ayam sebelum tidak masuk akal dan membebankan orang ramai.

"Alhamdulillah sejak beberapa hari lalu, harga ayam semakin turun walaupun tidak begitu ketara," katanya.

Peniaga sayur-sayuran, Rohanah Daud, 55, berkata, turun naik harga sayuran adalah fenomena biasa terutama ketika musim tengkujuh kerana ia bergantung kepada bekalan yang diperoleh.

"Harga sayur naik pada pertengahan September lalu, namun pada Oktober harga sayur mula naik mendadak apabila bekalan yang diambil daripada pemborong dijual pada harga agak tinggi, tetapi saya tetap mengambil bekalan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya mengakui ketika musim tengkujuh pada setiap tahun, harga sayuran yang dijual tidak menentu disebabkan oleh faktor cuaca dan kekurangan bekalan selain ia ditetapkan mengikut keadaan semasa, tetapi mujurlah pelanggan memahami kenaikan beberapa harga jenis sayuran yang dijual sedikit mahal berbanding biasa," katanya ketika ditemui di Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Berita Harian X