Jumaat, 10 Disember 2021 | 6:43pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Salah tekan e-wallet, bayar RM1,234.56 untuk sesikat pisang bernilai RM7.30

KOTA BHARU: Tindakan seorang warga emas membeli sesikat pisang berharga RM7.30 menggunakan aplikasi e-wallet di bandar ini, nyaris mencetuskan kerugian besar buat dirinya apabila tanpa disedari dia tersalah bayar sebanyak RM1,234.56.

Warga emas itu menyedari kesilapan bayaran itu selepas pulang ke rumah. Namun, usahanya menghubungi peniaga terbabit berdepan masalah, apabila secara kebetulan kedai tempat dia membeli pisang itu sudah bertukar pemilik.

Buntu dengan kesilapan itu, warga emas terbabit tampil membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata pihaknya menyelesaikan aduan itu semalam.

Katanya, lelaki berkenaan membayar sesikat pisang seberat lebih sekilogram dari sebuah kedai runcit di bandar ini dengan harga RM1,234.56.

"Lelaki itu membayar harga buah itu dengan menggunakan aplikasi e-wallet dan tersilap menekan harga yang sepatutnya hanya RM7.30 sahaja untuk sesikat pisang. Namun, kejadian itu disedari sebaik sahaja dia pulang ke rumah.

"Warga emas itu kemudian memaklumkan kepada pihak kedai runcit dan difahamkan kedai itu sudah bertukar pemilik.

"Mangsa kemudian membuat aduan kepada KPDNHEP pada Selasa lalu bersama bukti transaksi yang dibuat sebelum siasatan dijalankan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Azanizam berkata, hasil perbincangan pegawai penguat kuasa KPDNHEP, pemilik kedai runcit membayar balik kepada pengadu lebihan bayaran berjumlah RM1,227.27 dan hanya mengenakan bayaran RM7.30 bagi sesikat pisang yang dijual.

Susulan kejadian itu, pihaknya mengingatkan pengguna supaya sentiasa membuat semakan semula selepas pembayaran dibuat bagi mengelak sebarang kesulitan.

Berita Harian X